Terasa tapi tak berbisa

A
A
A

PERNAH tak kita terasa hati apabila berkomunikasi dengan seseorang ataupun apabila mendengar cerita-cerita yang tidak elok berkaitan dengan kita?

Sebagai manusia biasa yang ada perasaan dan harga diri sudah tentu kita tidak boleh mengelak untuk berasa sedih, kecil hati, kecewa, marah dan pelbagai perasaan negatif mula menjalar dalam diri.

Ada ketikanya, perasaan sebegini semakin berbisa kepada kita menyebabkan berlaku situasi yang lebih genting seperti dendam yang berpanjangan serta pergaduhan. Pendek kata, semakin dilayan perasaan tersebut maka semakin maraklah api kemarahan dalam diri.

Sebetulnya, bukan mudah untuk meramalkan sikap kita sendiri terhadap orang lain dan bagaimana pula sikap orang lain kepada kita.

Pun begitu, kita masih lagi boleh mengawal sikap kita kepada orang lain berbanding untuk mengawal sikap orang lain kepada kita. Kebiasaannya kita mudah terasa dengan sikap orang lain jika bercanggah dengan nilai dan prinsip kita. Namun, jarang sekali kita berasa orang lain boleh terasa dengan tingkah laku kita.

Natijahnya, kita hanya memberi fokus bagaimana orang lain perlu menjaga hati kita supaya tidak mudah terasa berbanding bagaimana untuk memperbetulkan diri kita agar orang lain tidak mudah terasa.

Umumnya, fenomena ini banyak disentuh dalam bidang ilmu psikologi mengenai kajian terhadap minda dan tingkah laku manusia.

Secara dasarnya, ahli psikologi mengkaji dua hubungan utama yang berkait dengan perkembangan manusia iaitu hubungan fungsi otak dengan tingkah laku serta hubungan tingkah laku dengan persekitaran. Ini bermakna, sesuatu perubahan terhadap tingkah laku disebabkan oleh kegagalan kita menguruskan fungsi otak dengan betul serta kelemahan kita menangani segala isu persekitaran dengan berkesan.

Artikel Berkaitan:

Justeru, mekanisme untuk stabilkan emosi dan tenangkan fikiran perlu dipelajari dari masa ke masa agar kita tidak mudah kecundang dalam persaingan hidup

.Secara prinsipnya, hanya terdapat dua jalan kehidupan iaitu jalan kebaikan dan jalan kejahatan. Walaupun kita tentunya memilih jalan kebaikan, namun bukanlah suatu jaminan bahawa kita akan terus berada pada jalan tersebut untuk selamanya.

Oleh itu, akan ada ketikanya kita boleh tergelincir ke jalan keburukan di mana kita sendiri tidak reda untuk memilih jalan tersebut. Justeru, kita perlu lebih berhati-hati untuk memilih kawan. Pada hemat saya, kita tidak boleh lari untuk disakiti.

Hakikatnya ada dua jenis personaliti manusia yang suka menyakiti iaitu personaliti semut dan personaliti ular. Bagi mereka yang berpersonaliti semut, sifatnya suka menyakat dan agak kasar dengan diri kita.

Walaupun kita disakiti tetapi bisanya tidak meracuni hingga ke lubuk hati. Pun begitu, bagi mereka yang berpersonaliti ular, kononnya hadir untuk melindungi kita namun sedikit sahaja kealpaan menyebabkan kita dipatuk dan dibelit tanpa belas ihsan lagi.

Sebetulnya, untuk teruskan kehidupan dengan berjaya dan cemerlang kita perlu kuat dan tidak boleh terlalu sensitif dengan apa jua refleksi daripada orang lain. Jika kita mudah terasa hati dengan refleksi tersebut, maknanya refleksi tersebut telah menjadi bisa yang amat kuat dan telah menyerang keseluruhan badan.

Berkaitan hal ini, Imam Al-Ghazali pernah berkata: “Makanan yang masuk menerusi mulut ke dalam perut ada yang memberi manfaat dan ada juga yang membawa mudarat. Begitulah juga, kata-kata yang masuk menerusi telinga ke dalam hati ada yang menjadi penawar dan ada juga yang menjadi racun.”

Ini bermakna, kita perlu berhati-hati dengan pertuturan kita. Hakikatnya, kehidupan ini bertimbal-balas. Jika kita tidak mahu disakiti, janganlah pula kita menyakiti. Namun jika kita tidak menyakiti dan sebaliknya sentiasa disakiti janganlah beranggapan kita sahaja yang terkena musibah, sebaliknya musibah yang lebih besar adalah kepada individu yang tidak mahu berubah walaupun telah diberi peluang untuk berubah.

Ada ketikanya, hidup ini jangan seronok sangat. Muhasabahlah diri sebelum terlambat.Terdapat dua jenis personaliti manusia yang suka menyakiti iaitu personaliti semut dan personaliti ular."

* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokumunikasi Universiti Malaysia Perlis