Ubah sikap skeptikal terhadap orang asli

Mohd Sayuti
Mohd Sayuti
A
A
A

KOTA BHARU - Masyarakat bandar perlu mengubah sikap skeptikal terhadap masyarakat orang asli, sekali gus tidak menjadikan kaum tersebut sebagai bahan ‘senda’ dalam pelbagai isu.

Pemerhati Politik, Mohd Sayuti Omar berkata, daripada apa yang dilihat melalui kes yang berlaku di Kuala Koh, Gua Musang, keadaan dan nasib mereka amat memilukan.

Menurutnya, suku ini masih terkebelakang dan tersisih dari pembangunan negara. Mereka seakan terbiar dan tidak dipedulikan berbanding dengan suku-suku lain.

“Perbezaan ini bukan sahaja berbanding dengan suku-suku lain tetapi sesama mereka yang mendiami kawasan berlainan juga ada perbezaan.

“Misalnya suku Bateq yang tinggal di Kuala Tahan didapati lebih terbuka dengan dunia luar dan ada perancangan khusus kerajaan buat mereka.

"Ada di kalangan mereka bertindak menjadi pemandu pelancong dan anak-anak mereka dihantar ke sekolah. Pergaulan atau sosial mereka terbuka.

“Hal ini berbeza dengan suku Bateq yang tinggal di Kuala Koh, di mana mereka seperti tidak diuruskan selari dengan pembangunan negara," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Beliau berkata, mereka melalui kesengsaraan hidup bersendirian secara tradisi dan apakah perbezaan ini disebabkan berbezanya tanggungjawab pihak penguasa kerajaan di antara satu negeri dengan negeri lain?.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bila isu ini semakin besar, maka pelbagai pertanyaan diajukan pelbagai pihak dan kebanyakannya menuding jari dan mempersoalkan peranan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Katanya lagi, keadaan ini seharusnya tidak berlaku dan sekiranya ada halangan untuk memajukan masyarakat ini kerana sikap mereka berbeza dengan suku lain, maka JAKOA perlu ada strategi dan psikologi bagaimana untuk mempengaruhi mereka agar menerima perubahan sama dengan suku-suku lain.

“Negara sudah merdeka 62 tahun. Kita telah mencapai berbagai kemajuan dan pembangunan dalam semua aspek. Tidak sepatutnya pembangunan kemanusiaan untuk suku Bateq ini tidak terbiar dan tidak dipedulikan.

“Jabatan dan agensi kerajaan lain juga patut memikul tanggungjawab sama. Jabatan Pendidikan, Majlis Agama Islam Negeri-negeri, Jabatan Kemajuan Masyarakat dan sebagainya kena memikul tanggungjawab secara bersama,” katanya.