Dekati, pelihara al-Quran: Agong

Al-Sultan Abdullah menyampaikan penghargaan kepada pelajar Maahad Tahfiz Pahang pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan dan Khatam Hafazan al-Quran Maahad Tahfiz Pahang di Hotel Zenith di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah menyampaikan penghargaan kepada pelajar Maahad Tahfiz Pahang pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan dan Khatam Hafazan al-Quran Maahad Tahfiz Pahang di Hotel Zenith di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Umat Islam harus sentiasa berusaha membaca dan memelihara al-Quran sebagai sebuah kitab manual kehidupan untuk mendidik manusia ke arah yang lebih baik.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, salah satu cara bagi mencapai objektif tersebut adalah menerusi penghafalan al-Quran.

Titahnya, pembentukan penghafaz al-Quran boleh membawa impak kepada pembangunan modal insan serta kesejahteraan umat Islam keseluruhannya.

"Modal insan Islam yang sepatutnya kita lahirkan perlulah berupaya menguasai pelbagai ilmu dengan baik melalui integrasi modal insan dan memiliki kepelbagaian ilmu serta boleh menghafaz al-Quran.

"Saya percaya akan lahirlah generasi pintar yang berupaya membela agama, berbakti pada bangsa, membawa rahmat kepada sekalian ummah dan lahirlah tamadun Islam yang unggul.

"Umat Islam perlu menyedari bahawa untuk berteduh di bawah payung rahmat ALLAH, kita hendak terlebih dahulu memperbaiki diri, bersatu serta bersepakat dalam menegakkan hukum ALLAH," titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan dan Khatam Hafazan al-Quran Maahad Tahfiz Pahang di Hotel Zenith di sini hari ini.

Dalam pada itu, Al Sultan Abdullah bertitah, majlis Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam bagi negeri di bawah naungannya yang bakal ditubuhkan itu akan menjadi platform untuk membantu dan menasihati serta memberi pandangan berhubung pengurusan hal ehwal Islam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Seri Paduka mencadangkan kepada pihak agensi kerajaan negeri yang terlibat akan mewujudkan satu platform atau pusat bagi mendalami ilmu hadis.

"Saya berharap agar Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Pejabat Mufti Pahang dan Yayasan Pahang mengkaji untuk menubuhkan satu pusat perintis berkaitan hadis.

"Ini perlu supaya kita dapat mengkaji lebih mendalam dan memahami tentang selok belok hadis yang dikatakan hadis sahih serta tiada lagi pihak yang suka putar belit hadis di mana ia menjadi pengajaran dalam kehidupan umat manusia," katanya.