Permohonan lucut hak 41 responden bermotifkan politik, kata Najib

Hantaran Najib di laman sosial Facebooknya mengenai perlucutan hak ke atas 41 responden tersebut.
Hantaran Najib di laman sosial Facebooknya mengenai perlucutan hak ke atas 41 responden tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan melucutkan hak ke atas 41 responden yang didakwa terlibat dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai bermotifkan politik untuk melemahkan pembangkang.

Menurutnya, setelah SPRM menjalankan siasat selama setahun, namun tidak dapat mendakwa sebarang penerimaan dengan kes jenayah maka kerajaan PH dakwanya terpaksa menggunakan saman sivil.

“Saya berpendapat langkah MACC (SPRM) terbaru ini adalah bermotifkan politik untuk melemahkan parti pembangkang.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM dedah 41 penama penerima wang 1MDB

“Setelah MACC siasat selama satu tahun, mereka tidak dapat mendakwa sebarang penerima dengan kes jenayah. Oleh itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) terpaksa menggunakan saman sivil,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Dalam pada itu, Najib mengingatkan semasa perbicaraan kes SRC International Sdn Bhdnya, pegawai bank mengesahkan kepada mahkamah bahawa dana daripada putera Arab termasuk sekurang-kurangnya RM304 juta (iaitu lebih dari RM270 juta yang dituntut oleh SPRM) yang didepositkan dalam akaun saya pada 2011 oleh Kementerian Kewangan Arab Saudi.

“(Pegawai bank juga mengesahkan bahawa dana yang disebut sebagai RM2.6 bilion yang diterima pada bulan April 2013 sebelum PRU14 itu telah dihantar balik kepada penghantar beberapa bulan kemudian).

“Saya diberi kebebasan penuh oleh Raja Saudi untuk mengendali dana ini. Dan saya memilih untuk menggunakannya untuk projek kebajikan rakyat secara terus, melalui NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan melalui parti politik yang menganjurkan program-program kebajikan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Dana itu bukan digunakan untuk peribadi atau keluarga saya,” katanya.

Tambahnya, sekiranya disemak senarai yang diberi oleh SPRM hari ini, dua dari 41 nama itu ialah syarikat Jakel Trading dan Jakel Trading Sdn Bhd.

“Selama ini, media Barat dan PH pernah tuduh Syarikat Jakel adalah gedung pakaian mewah. Mereka juga memfitnah saya dan isteri telah belanja sebanyak RM55 juta untuk membeli pakaian mewah dan kain mahal dari syarikat ini.

“Tetapi kebenarannya ialah ini bayaran kepada Jakel untuk membekal kain pelikat, jubah serta bekalan lain melalui NGO dan parti kepada lebih dari 7,000 masjid di seluruh negara sempena Ramadan untuk beberapa tahun berturut-turut. Ini termasuk pemberian kepada 14,254 imam dan 138,746 ahli jawatankuasa 7,261 masjid di seluruh negara,” jelasnya.

Najib berkata, amat janggal bahawa syarikat Jakel turut didakwa menerima dana haram kerana syarikat itu cuma membekal kepada parti UMNO dan NGO untuk program kebajikan.

“Dana tidak disumbang kepada Jakel tetapi ia adalah bayaran kepada mereka untuk pembelian,” katanya.