JKM sedia kenderaan percuma ulang alik hospital

Warga emas kurang berkemampuan yang tidak mempunyai kenderaan harus merebut peluang disediakan JKM yang sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka.Gambar kecil: Zulkhairi Zainal Abidin
Warga emas kurang berkemampuan yang tidak mempunyai kenderaan harus merebut peluang disediakan JKM yang sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka.Gambar kecil: Zulkhairi Zainal Abidin
A
A
A
KUANTAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menawarkan perkhidmatan kenderaan percuma kepada golongan warga emas yang tidak berkemampuan untuk berulang alik ke hospital.

Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainal Abidin berkata, langkah ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Unit Penyayang Warga Emas (UPWE) yang mendapat kerjasama Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia (MPKSM).

Menurutnya, perkhidmatan percuma itu juga bagi mengurangkan masalah yang dihadapi masyarakat dalam mendapatkan kenderaan untuk menjalani rawatan ke hospital berdekatan, di samping kesempitan hidup bagi membiayai kos perjalanan dari rumah ke hospital.

"Perkhidmatan ini kita sediakan bagi memberi kemudahan kepada warga emas yang kurang berkemampuan untuk ke hospital atau klinik kesihatan tanpa sebarang caj dikenakan.

"Saya mengharapkan agar mereka (warga emas) yang tidak mempunyai kenderaan dan sukar untuk ke hospital mengambil peluang keemasan ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, di sini hari ini.

Dalam pada itu Zulkhairi berkata, perkhidmatan kenderaan percuma setakat ini hanya beroperasi merangkumi dua daerah iaitu Raub dan Pekan bermula jam 10 pagi sehingga 5 petang.

Menurutnya, menerusi perkhidmatannya itu, mereka yang memerlukan bantuan pihaknya hanya perlu menghubungi Unit Penyayang Warga Emas di talian 09-3553396 (Raub) dan 09-4223776 (Pekan).

"Walaupun perkhidmatan ini telah dilaksanakan bermula tahun 2016 tetapi kurang mendapat sambutan disebabkan ramai yang tidak tahu bahawa JKM mempunyai perkhidmatan menghantar warga emas ke hospital dan klinik kerajaan

"Kita berharap agar perkhidmatan ini akan mendapat sambutan daripada golongan sasaran untuk membantu mereka.
Artikel Berkaitan:


"Diharap juga perkhidmatan yang kami tawarkan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban orang dalam kesusahan,” katanya.