20 maut setiap hari di jalan raya

A
A
A

MEMBACA laporan Op Selamat 15/2019 amat menggerunkan. Op Selamat 15/2019 hari ke-12 sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri dilancarkan sejak 29 Mei lalu merekodkan 207 kematian. Op Selamat ke-15 itu berakhir 12 Jun 2019. Bermakna dalam tempoh itu sekitar 17 nyawa terkorban setiap hari.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urusetia Ketua Polis Negara, Datuk Asmawati Ahmad berkata, mengikut laporan statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sebanyak 19,515 kemalangan dicatatkan di seluruh negara. Menurutnya, daripada jumlah itu, Selangor mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 37 kes, diikuti Johor (32 kes), Perak (19 kes), Pahang (17 kes), Kedah dan Sabah (16 kes), Sarawak dan Kelantan (14 kes), Negeri Sembilan dan Terengganu (sembilan kes), Pulau Pinang (tujuh kes), Kuala Lumpur dan Melaka (enam kes) serta Perlis sebanyak lima kes.

Selain itu, sebanyak 3,554 operasi dijalankan di seluruh negara dengan 266,294 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, polis menumpukan enam kesalahan utama dalam Op Selamat 15/2019 bermula 29 Mei hingga 12 Jun ini. Enam kesalahan itu ialah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

Purata kes maut jalan raya kini sekitar 7,000 hingga 8,000 orang setahun. Bermakna dianggarkan 20 orang maut setiap hari di jalan raya negara ini, manakala lebih 25,000 orang cedera setiap tahun.

Kadar kematian jalan raya di Malaysia di tempat ketiga tertinggi dunia mengatasi India dan China.

Malaysia merekodkan kadar kematian jalan raya tinggi iaitu 23 orang setiap 100,000 penduduk berbanding Indonesia 15 kes dan Filipina 11 kes.

Risiko

Laporan Bloomberg pada 20 Jun 2017 merekodkan statistik Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) bagi 2013, Malaysia bakal menjadi negara antara paling berisiko bila berada di atas jalan raya selepas Thailand dan Afrika Selatan.

Artikel Berkaitan:

Kadar kemalangan maut di jalan raya Malaysia masih dianggap sangat tinggi kerana ia hampir menyamai kadar purata negara berpendapatan rendah.

Bloomberg melaporkan purata kadar kematian jalan raya di negara maju adalah 9.3 peratus, manakala bagi negara berpendapatan rendah adalah 24.1 peratus dan negara berpendapatan sederhana adalah 18.4 peratus.

Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) sejumlah 80.6 peratus kemalangan disebabkan kecuaian manusia, memandu secara gopoh dan tidak mematuhi peraturan jalan raya.

Ternyata masyarakat negara ini masih tidak mengambil berat mengenai kemalangan jalan raya. Malah ada yang menganggap ia fenomena yang tidak dapat dielakkan. Padahal kesan kemalangan sangat berat dan membabitkan masa depan individu, keluarga, masyarakat dan negara. Bukan sahaja fizikal, malah mental, emosi, sosial juga ekonomi. Kemalangan fatal berlaku kerana ia bukan melibatkan seorang pemandu sahaja tetapi penumpang dan pemandu lain.

Pelbagai kempen dilancarkan dan peraturan digubal, namun kemalangan masih tinggi.Kami mengakui faktor kecuaian manusia sememangnya faktor utama. Akan tetapi kenderaan terlalu banyak di negara ini juga menjadi trend yang perlu dikaji semula. Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA) kenderaan yang berdaftar sehingga 30 Jun 2017, di atas jalan raya mencecah 28,181,203 unit. Bermakna 0.88 kenderaan bagi setiap penduduk di negara ini.

Malaysia kini mempunyai kadar pemilikan kenderaan ketiga tertinggi dunia. Data menunjukkan 93 peratus isi rumah memiliki kereta, bermakna hanya tujuh peratus isi rumah tidak memiliki kereta.

Melihat kebanyakan kemalangan melibatkan pemandu dan pembonceng motosikal iaitu 62.7 peratus daripada keseluruhan kemalangan, maka polisi kawal kenderaan jenis tersebut perlu digubal.

Kami juga berpendapat syarat lesen memandu perlu diperketatkan terutama dalam kalangan golongan muda. Kecenderungan anak muda mahu memiliki kenderaan sendiri menyebabkan kadar hak milik kenderaan persendirian amat tinggi di negara ini. Pemandu remaja antara sebab kemalangan jalan raya yang berlaku kerana tidak berhati-hati dan sering mengguna telefon bimbit ketika memandu.

Jika Malaysia mahu menuju ke arah negara maju maka usaha serius perlu diambil untuk menangani kadar kemalangan jalan raya sebagai isu keselamatan nasional.