Floating market bakal wujud di Terengganu

Penduduk negeri ini bakal menikmati suasana seperti berada di pasar terapung yang boleh didapati di Kampung Pulau Suri di Kelantan ini.
Penduduk negeri ini bakal menikmati suasana seperti berada di pasar terapung yang boleh didapati di Kampung Pulau Suri di Kelantan ini.
A
A
A

KUALA NERUS - Kuala Nerus 'Floating Market' atau pasar terapung bakal menjadi sebagai satu lagi produk pelancongan baharu di daerah ini sekaligus menjadi yang pertama di negeri Terengganu.

Walaupun masih dalam peringkat cadangan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Daerah Kuala Nerus namun lokasi di Seberang Takir adalah lokasi paling strategik untuk tujuan tersebut.

Ini kerana, Seberang Takir mempunyai panorama yang agak indah untuk dilakukan aktiviti sebegini. Ditambah dengan kawasan yang berlatarkan jambatan angkat atau 'drawbridge' yang perlu dimanfaatkan.

Usaha yang dijangka menarik lebih ramai pelancong itu turut melibatkan perkhidmatan bot penambang sekali gus mampu mentransformasikan pengangkutan tradisi yang telah berusia lebih 60 tahun itu.

Penolong Kanan Pegawai Daerah, Fairul Hisyam Mat yang memaklumkan perkara itu berkata, sebagai permulaan satu jawatankuasa pelaksanaan ditubuhkan di bawah seliaan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus dan dianggotai oleh pelbagai agensi.

Fairul mengetuai Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan daerah di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Kuala Nerus.
Fairul mengetuai Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan daerah di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Kuala Nerus.

"Penggiat pelancongan termasuk Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) antara pihak yang akan terlibat dalam jawatankuasa ini setelah kita bersetuju melaksanakan projek 'floating market' di Seberang Takir.

"Jawatan kuasa ini akan merangka kertas cadangan projek sebelum diserah kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penduduk negeri ini bakal menikmati suasana seperti berada di pasar terapung yang boleh didapati di Kampung Pulau Suri di Kelantan dan seperti pasar terapung Klong Hae di Hatyai.

Bagaimanapun, katanya, konsep pasar terapung Seberang Takir mungkin menampilkan sedikit kelainan daripada pasar terapung berkenaan dan ia masih belum diputuskan jawatankuasa terbabit.

"Namun majlis (mesyuarat) bersetuju isu pengusaha bot penambang diambil kira dalam pelaksanaan floating market Seberang Takir agar mereka terlibat sama sesuai dengan kewujudan draw bridge," katanya.