Terengganu rancang bina hab pengangkutan KT Sentral bernilai RM160 juta

Wan Sukairi
Wan Sukairi
A
A
A

​KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu mengumumkan perancangan pembinaan hab pengangkutan bersepadu KT Sentral di Bandar Baharu Bukit Besar di sini dengan anggaran kos awal sebanyak RM160 juta.

​Projek yang dirancang secara penswastaan itu bakal menyelaraskan perkhidmatan terminal bas bagi perjalanan dalam bandar dan antara bandar, teksi serta kemudahan pengangkutan bot di satu lokasi bagi meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam di negeri ini.

​Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pembinaan hab berkenaan juga akan diselaraskan dengan keperluan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Kuala Terengganu bagi memastikan kesalinghubungan pengangkutan awam yang lebih lancar.

​"Pembangunan Bandar Baharu Bukit Besar ketika ini menunjukkan kemajuan dari aspek penyediaan tapak, pembinaan kemudahan kerajaan dan infrastruktur.

​"Hampir 90 hektar tanah telah selesai melalui proses pengambilan balik bagi pembangunan 12 lot pejabat agensi kerajaan, sebuah terminal bersepadu, loji rawatan kumbahan berpusat, masjid berserta makam diraja serta rizab jalan," katanya.

​Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Mamad Puteh (Pas-Kuala Berang) mengenai perkembangan terkini pembangunan Bukit Besar termasuk perancangan hab pengangkutan bersepadu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini pada Khamis.

​Mengulas lanjut perkembangan fizikal projek di kawasan itu, Wan Sukairi memberitahu, tiga lot pejabat agensi kerajaan telah siap dan mula beroperasi setakat ini, manakala sebuah lagi pejabat agensi kerajaan serta loji rawatan kumbahan berpusat masih dalam pembinaan.

​Menurutnya, pihak majlis juga menerima permohonan rundingan awal perancangan bagi tiga lot pembangunan membabitkan dua lot pejabat agensi kerajaan dan sebuah masjid.

​Bagi pembangunan infrastruktur jalan raya pula, beliau menjelaskan sebanyak 6.9 hektar jalan telah siap dibina bagi menyokong pembangunan kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

​Katanya, cadangan pembinaan jalan susur utama ke Kuala Terengganu Bypass sepanjang 2.75 kilometer melibatkan keluasan kira-kira 15 hektar turut diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

​"Projek berkenaan menerima peruntukan sebanyak RM141.7 juta bagi skop pengambilan balik tanah dan reka bentuk," katanya.

​Berdasarkan Pelan Strategik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) 2025-2029, pembangunan KT Sentral berpotensi mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar, selain merangsang aktiviti ekonomi melalui pembukaan ruang perniagaan, restoran dan peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan serta pengangkutan.

​Hab tersebut juga dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan sekitar Bukit Besar sebagai bandar baharu yang lebih tersusun, sekali gus meningkatkan kemudahan kepada penduduk dan pelancong.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!