'Lari ke Bangkok sebab rasa takut dengan Najib'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas pengarah bukan eksekutif SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin mendedahkan di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau dan isteri melarikan diri ke Bangkok, Thailand.

Langkah ini diambil kerana beliau berasa takut kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih berkuasa sebagai Perdana Menteri selepas beliau ingin membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu SRC.

Menceritakan mengenai perkara itu, Suboh, 68, saksi pendakwaan ke-42 berkata pada 2015, beliau telah menghubungi pejabat SPRM untuk membuat temu janji bagi menjelaskan berkenaan isu SRC yang sedang disiasat oleh SPRM.

“Sebelum saya pergi ke pejabat SPRM, saya menerima satu panggilan daripada seseorang saya tidak kenali yang memperkenalkan diri sebagai wakil SPRM dan menyatakan kepada saya agar tidak pergi ke pejabat SPRM seperti mana yang dijanjikan dan mengarahkan saya untuk meninggalkan Malaysia.

Saya rasa takut dengan keadaan yang sedang berlaku dan juga kerana Datuk Seri Najib masih berkuasa sebagai Perdana Menteri pada masa itu. Saya tidak tahu apa yang mungkin boleh berlaku kepada saya dan keluarga, “ katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada hari ke-29 perbicaraan kes Najib berhubung penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Suboh berkata, beliau membuat keputusan untuk melarikan diri ke Bangkok, Thailand bersama isterinya dan tinggal di sana selama lebih kurang sebulan dengan segala kos ditanggung sendiri. Beliau berkata, semasa di Bangkok, beliau telah bertemu dengan seorang lelaki Thailand yang menyerahkan tiket penerbangan untuknya dan isteri ke Abu Dhabi dan beliau dan isteri menaiki penerbangan ke Abu Dhabi dari Bangkok.

Katanya, ketika di Abu Dhabi, beliau telah dibawa ke Hotel Rosewood oleh seorang lelaki Arab dan tinggal di sana selama lebih kurang seminggu dan segala kos tiket penerbangan dan penginapan telah diatur untuknya tetapi beliau tidak tahu siapa yang menanggung kos tersebut.

“Saya kemudian telah menaiki penerbangan kembali ke Bangkok dan seterusnya pulang ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Setelah kembali, saya telah dihubungi oleh Nik Faisal (Nik Faisal Ariff Kamil, Ketua Pegawai Eksekutif SRC ketika itu) yang mengarahkan saya untuk melarikan diri lagi sekali dari Malaysia dan untuk mengelakkan diri daripada pihak berkuasa.

Saya membuat keputusan untuk tidak melarikan diri lagi dan untuk kekal di Malaysia dan membantu siasatan oleh pihak berkuasa,” katanya yang membacakan penyataan saksi dengan perlahan-lahan kerana beliau tidak berapa sihat.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff mengapa beliau hendak membuat laporan kepada SPRM mengenai SRC, Suboh berkata, pada tahun itu (2015) apabila isu SRC menjadi “panas” beliau mengambil inisiatif untuk menjelaskan apa yang beliau tahu mengenai perkara itu.

“Tapi sebelum saya pergi saya telah mendapat panggilan daripada seseorang yang mengaku dia daripada SPRM. Datuk, Datuk tidak perlu datang, anda pergi sahaja dari sini,” katanya.

Ishak: Adakah Datuk tahu siapa pemanggil itu?

Suboh: Saya tak cam suara itu. Dia memperkenalkan diri dia daripada SPRM.

Ishak: Tahu bangsa dia apa?

Suboh: Dia bertutur dalam Bahasa Melayu.

Ditanya mengapa beliau perlu takut kepada Perdana Menteri pada masa itu, adakah beliau (Perdana Menteri) mengugutnya (Suboh), saksi itu berkata pada ketika itu Nik Faisal ada menghubunginya memintanya melarikan diri.

“Pada ketika itu, Nik Faisal hubungi saya. Beliau beritahu mengenai SRC melibatkan Najib. Dia nasihatkan saya. Anda pergi sahaja dari sini, katanya. Jadi saya serba salah dan lari ke Bangkok.

Kepada soalan sama, mengapa beliau takut kepada Najib, saksi itu berkata “Nik Faisal ada menghubungi saya sekali lagi dan memberitahu kes SRC melibatkan Najib”.

Ditanya bila Nik Faisal menghubunginya, Suboh berkata “kalau tak silap saya selepas PRU (Pilihan Raya Umum Mei 2018)”

Ishak: Apa jawapan Datuk kepada Nik Faisal? Suboh: Saya mengatakan saya tidak mahu melarikan diri lagi.

Terdahulu semasa Suboh yang merupakan salah seorang saksi utama dalam perbicaraan kes itu meneruskan keterangannya, Ishak bertanyakan tentang kesihatan lelaki itu.

Ishak: Bagaimana keadaan kesihatan Datuk hari ini?

Suboh: Saya tidak berapa sihat.

Ishak: Ok, kita sabar ya Datuk jawab soalan. Pada 2012 Datuk ada menjalani apa-apa pembedahan?

Suboh: Saya kadang-kadang pergi berjumpa pakar kardiologi. Pada Dis 2012, saya buat pembedahan pintasan dan kemudian pada Jun 2017 saya terkena angin ahmar.

Suboh yang hadir ke mahkamah hari ini dengan bertongkat berkata beliau masih meneruskan rawatan kesihatannya.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 1 Julai. - Bernama