Suspek bunuh, sumbat mayat wanita dalam kotak kayu akan didakwa

Kotak kayu yang menyimpan mayat wanita berkenaan.
Kotak kayu yang menyimpan mayat wanita berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suspek utama kes pembunuhan seorang wanita yang ditemui dalam sebuah kotak kayu di Kawasan Perindustrian Ringan Taman Daya di sini minggu lalu akan dihadapkan ke mahkamah Ahad ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, suspek yang juga lelaki berusia 35 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Kertas siasatan berhubung kes ini telah pun dirujuk Pejabat Pendakwa Raya Negeri Johor dan menerima arahan untuk tuduh suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Seorang lagi suspek iaitu lelaki berusia 32 tahun yang ditahan bersama suspek sebelum ini telah dibebaskan dan akan dijadikan saksi pendakwaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Shahurinain berkata, ujian DNA yang dilakukan untuk mengenal pasti identiti mayat tersebut masih dijalankan.

"Keputusan masih belum terima, proses masih dilakukan," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan proses pengecaman mayat wanita yang ditemui tersebut akan ditukar kepada ujian DNA berikutan keadaan mayat yang sudah mereput.

Sebelum itu, mayat wanita dipercayai berusia 33 tahun berkenaan dilaporkan turut disimen dengan plaster siling dan dipercayai dibunuh kekasihnya yang juga suspek utama.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Sumbat mayat teman wanita dalam kotak