Tam diburu, suspek bunuh rakan senegara

Suspek dikenali sebagai Tam warga Vietnam berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu masih bebas sehingga kini.
Suspek dikenali sebagai Tam warga Vietnam berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu masih bebas sehingga kini.
A
A
A

IPOH - Polis Perak sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kematian seorang lelaki dalam pergaduhan di kawasan tempat letak kereta di Taman Sri Kurau, Bercham Gama di sini bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek dikenali sebagai Tam, warga Vietnam berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu masih bebas sehingga kini.

Menurutnya, selepas kejadian, mangsa yang merupakan rakan senegara suspek mengalami kecederaan parah dan telah dibawa oleh rakan-rakannya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan kecemasan manakala suspek melarikan diri.

"Lima rakan mangsa termasuk dua wanita telah ditahan reman untuk siasatan lanjut, namun telah dibebaskan selepas didapati tidak terlibat dalam kejadian pembunuhan itu.

"Usaha giat dijalankan bagi mengesan Tam yang disyaki suspek utama bagi kes ini untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, dalam kejadian sekitar jam 10.47 malam, 18 April lalu, mangsa berusia 40 tahun bersama suspek dan lima rakan senegara datang ke sebuah pusat hiburan untuk berhibur.

Katanya, berlaku pertengkaran mulut antara mereka hingga berlarutan ke kawasan tempat letak kereta sebelum mangsa ditikam menggunakan botol kaca oleh suspek.

"Mangsa disahkan meninggal dunia sekitar jam 1 pagi akibat tikaman di bahagian leher dan dada.

"Punca pergaduhan kerana mangsa dikatakan berkelakuan tidak senonoh dengan teman wanita suspek," katanya.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat tentang suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden S Dasarathan di talian 012-5644484.