Usaha merakyatkan Esscom di Sabah

A
A

DALAM kekecohan skandal video panas Sandakan yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan Kabinet baru-baru ini, negara turut digemparkan dengan insiden penculikan 10 orang nelayan oleh penjenayah rentas sempadan di Perairan Lahad Datu, Sabah.

Ironinya kedua-duanya insiden itu berlaku di bumi Sabah. Cuma, insiden ‘penculikan Syawal Lahad Datu’ awal pagi Selasa lalu mungkin tidak mendapat tumpuan ramai berbanding isu video panas ‘Ramadan Sandakan’.

Sunggupun begitu, insiden penculikan di Lahad Datu barangkali lebih penting buat negara kerana ia melibatkan keselamatan, kedaulatan dan reputasi Malaysia.

Benar ada sedikit kelegaan apabila Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan 10 nelayan yang diculik itu tidak membabitkan warganegara Malaysia.

Namun begitu, fakta bahawa ia berlaku di dalam perairan Malaysia (kira-kira 13.2 batu nautika dari Felda Sahabat, Lahad Datu) dan di dalam Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) di bawah kawal selia Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) amat membimbangkan.

Untuk peringatan, kejadian awal pagi Selasa itu merupakan kes penculikan kesembilan yang dicatatkan di kawasan pantai timur Sabah sejak tahun 2016.

Walaupun berlaku koordinasi menyeluruh di bawah Esscom apabila semua agensi keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kastam Diraja Malaysia dan imigresen yang diletak di bawah satu pentadbiran dan arahan pusat yang sama, tetapi kalau dalam tiga tahun sudah sembilan kali penculikan berlaku dan si penculik pula bolos, nampaknya memang ada yang tak kena.

Tambahan pula, semua itu berlaku ketika mana penguatkuasaan perintah berkurung dikenakan ke atas seluruh kawasan perairan Esszone sejak 2014 yang ironinya bertujuan untuk mengekang sebarang kes penculikan atau pencerobohan daripada berlaku di kawasan tersebut.

Sejak penubuhan Esscom selepas tragedi pencerobohan Tanduo pada 2013, tidak sedikit wang yang dibelanjakan bagi memperkasakan Esscom dan keselamatan di wilayah Esszone.

Pertahanan

Bermula dengan pembelian kelengkapan dan peralatan ketenteraan, pembinaan kem-kem strategik keselamatan baharu di beberapa kawasan sehinggalah pengubahsuaian pelantar minyak serta rancangan pemanjangan landasan lapangan terbang Lahad Datu bagi meningkatkan kapasiti pertahanan udara di wilayah itu, ada baiknya kerajaan hari ini menilai semula keperluan Esscom selepas apa yang berlaku.

Sebagai anak jati Lahad Datu, secara peribadi penulis melihat Esscom hanya sekadar pelega sementara kepada warga Lahad Datu dan orang Sabah yang trauma dengan tragedi Tanduo.

Dipermulaan, ia diterima dengan baik serta harapan menggunung oleh masyarakat Lahad Datu yang sememangnya sudah sinonim dengan pencerobohan ‘Mundu’ (baca: lanun/pengganas) sejak dari tahun 80-an lagi.

Namun begitu, sesudah reda dan hilang kenangan Tanduo, Esscom dilihat sebagai satu lagi relik peninggalan sejarah selepas tamatnya Operasi Daulat yang akhirnya tidak juga menyelesaikan masalah keselamatan perairan pantai timur Sabah yang luasnya 134,761 km berbanding di Semenanjung (740 km).

Kalau diperhatikan, empat objektif utama Esscom iaitu meningkatkan kemampuan risikan; pemantauan dan pengawalan pantai 24 jam sehari; penguatkuasaan undang-undang yang ketat serta tindakan pantas ke atas sebarang ancaman dan terakhir; meningkatkan kemampuan negara untuk memintas sebarang ancaman dari laut masih belum tercapai.

Bukan memperkecil atau menafikan terus peranan Esscom sebagai satu mekanisme keselamatan kerana banyak juga kes penculikan dan jenayah rentas sempadan berjaya dipatahkan oleh agensi-agensi di bawah Esscom.

Cuma apa yang membimbangkan dalam kes yang terbaharu ini membabitkan kewibawaan dan kelestarian Esscom sebagai agensi bertanggungjawab dalam keselamatan dan kedaulatan negara, terutamanya di pantai timur Sabah yang semakin terhakis.

Mungkin sebagai permulaan, Esscom perlu keluar dari kepompong pemikiran tradisi keselamatan yang kompleks dan berstruktur kepada merakyatkan dan engaging (keterlibatan).

Sifat ancaman keselamatan di pantai timur Sabah yang non-traditional dan militer (rata-rata melibatkan ancaman pengganas separa-tentera, militan persendirian atau kumpulan penjenayah) memerlukan Esscom dirakyatkan dengan membina hubungan erat dan rapat dengan rakyat setempat, mirip Rancangan Briggs ketika melawan komunis satu ketika dahulu.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Kampus Seremban


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.