SPRM siasat kes tuntutan palsu GLC Kedah

Shaharom Nizam (tiga dari kiri) bersalaman dengan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Kedah, Ismasuhaimi Shariff (tiga dari kanan) yang hadir pada majlis Aidilfitri SPRM Kedah.
Shaharom Nizam (tiga dari kiri) bersalaman dengan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Kedah, Ismasuhaimi Shariff (tiga dari kanan) yang hadir pada majlis Aidilfitri SPRM Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah masih melengkapkan siasatan berkaitan kes tuntutan palsu mencecah nilai jutaan ringgit melibatkan pengurusan tertinggi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri ini.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, kes terbabit masih dalam siasatan berikutan terdapat dokumen belum dilengkapkan.

Menurutnya, sehingga kini terdapat enam GLC dalam pemerhatian sama ada dalam siasatan mahupun kes baharu.

“Ada sebahagian sudah diambil keterangan, cuma kita masih perlukan dokumen tertentu untuk lengkapkan siasatan. Dokumen berkenaan diperlukan untuk kajian lanjut bagi memastikan sama ada berlaku kesalahan seperti didakwa,” katanya, selepas majlis jalinan mesra Aidilfitri SPRM Kedah, di pejabatnya di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini.

Shaharom Nizam berkata, pihaknya mendapat kerjasama baik daripada pihak terlibat termasuk kerajaan negeri mahupun bekas pemerintah terdahulu.

“Ambil masa sedikit namun siasatan sedang berjalan. Terdapat dokumen yang diperlukan agak lama, jadi perlukan masa namun mendapat kerjasama baik semua pihak,” katanya.

Menurutnya, antara kes aduan termasuk salah guna kuasa, rasuah dan tuntutan palsu melibatkan pengurusan tertinggi.

“Ada kes yang disiasat tidak boleh didedahkan awal, bimbang jejaskan siasatan. Terdapat kes yang baharu diterima dan ada yang sudah dalam siasatan, namun keutamaan diberikan kepada kes besar dan berprofil tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Shaharom Nizam berkata, kes penyelewengan dana sebuah persatuan di negeri ini melibatkan bekas ahli politik bergelar Datuk Seri juga masih dalam siasatan awal, namun butiran lanjut tidak dapat didedahkan buat masa ini.

“Kita masih menanti beberapa dokumen untuk tindakan lanjut, ia masih di peringkat awal siasatan. Sehingga kini, Datuk Seri berkenaan belum dipanggil untuk diambil keterangan,” katanya.

Sementara itu, Shaharom Nizam berkata, pada tahun ini pihaknya telah membuka sebanyak 53 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan di negeri ini, selain menahan seramai 80 individu, antaranya 26 penjawat awam serta 51 orang awam.

“Sebanyak 11 pertuduhan melibatkan nilai rasuah melebihi RM1.2 juta telah dibuat di mahkamah sepanjang tahun ini.

Banyak lagi kes dalam kajian, kita berusaha mempercepatkan siasatan bagi membolehkan kes-kes itu dibawa ke mahkamah,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 271 aduan diterima daripada pelbagai sumber setakat semalam, antaranya menerusi pegawai SPRM sebanyak 97 aduan, pengadu tampil (75), surat rasmi (40), surat layang (33) serta panggilan telefon (21).

“Saya harap orang awam, penjawat awam mahupun swasta sentiasa salurkan maklumat kepada SPRM dan jangan bimbang akan aspek keselamatan mereka kerana identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya.