Amirudin ingatkan PBT tingkat kualiti perkhidmatan

Amirudin (tengah) bergambar bersama orang awam sewaktu menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri MPS hari ini.
Amirudin (tengah) bergambar bersama orang awam sewaktu menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri MPS hari ini.
A
A
A

SELAYANG - Pihak berkuasa tempatan (PBT) diingatkan meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan tidak bergantung sepenuhnya kepada aduan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, laporan pengurusan perlu menyeluruh termasuk daripada maklum balas penduduk.

Menurutnya, penilaian laporan kerajaan tidak hanya berpandukan laporan pihak pengurusan tetapi mengambil kira maklum balas daripada rakyat yang menerima perkhidmatan.

"Ia termasuk pembayar cukai yang diberikan perkhidmatan dan penyampaian daripada PBT dan kerajaan negeri," katanya ketika berucap di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Bandar Baru Selayang di sini hari ini.

Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua berkata, kerajaan negeri akan menterjemahkan kualiti perkhidmatan awam negeri berdasarkan pencapaian semasa.

"Bermula tahun ini, pemberian bonus adalah berdasarkan penilaian prestasi semasa berbanding sistem pemarkahan yang dibuat sebelum ini.

"Kita akan berikan ganjaran (bonus) sehingga maksimum tiga bulan gaji kepada penjawat awam kerana kita percaya melalui kaedah ini mampu memberikan motivasi kepada mereka untuk melaksanakan tugas,” katanya.

Lebih 2,000 tetamu memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri MPS.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua MPS, Datuk Dr Juhari Ahmad dan ADUN Rawang, Chua Wei Kiat.