UM kini kedudukan ke-70 universiti terbaik dunia

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Berdasarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2020 yang dikeluarkan semalam, Universiti Malaya (UM) naik 17 tangga berbanding tahun lalu untuk berada di kedudukan ke-70 dalam senarai universiti terbaik dunia.

UM berjaya ditempatkan dalam kalangan 100 universiti terbaik dunia daripada 1,001 institusi yang disenaraikan oleh QS-WUR selepas peroleh skor keseluruhan 67.1 peratus iaitu peningkatan 7.2 peratus dari tahun lepas.

Naib Canselor UM, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim menegaskan, pihak universiti akan terus komited dan senantiasa meningkatkan taraf pendidikan tinggi di Malaysia.

"Pencapaian ini juga sejajar dengan misi kami untuk diiktiraf sebagai institusi pengajian tinggi berprestij terutamanya dalam segmen pengajaran pembelajaran, penyelidikan, penerbitan dan inovasi," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahim turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus meletakkan UM di kedudukan terkini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Canselor, Pro-Canselor dan Lembaga Pengarah atas sokongan tidak berbelah bagi. Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada komuniti UM, pelajar, kakitangan dan alumni atas komitmen dan sumbangan mereka.

"Saya juga berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan yang telah membolehkan UM berjaya memainkan peranan utama dalam usahanya untuk meningkatkan profil institusi pendidikan tinggi Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya lagi.

Sebanyak 20 institusi pendidikan tinggi tempatan awam dan swasta di negara ini tersenarai dalam kedudukan 1,001 universiti terbaik dunia dengan 10 daripadanya mencatat peningkatan, dua (tidak berubah), tujuh (penyertaan baharu) serta satu (menurun).

Artikel Berkaitan:

Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat terus mengungguli rekod universiti terbaik dunia untuk tahun kelapan berturut-turut manakala universiti terbaik Asia, Nanyang Technological University (NTU) dan National University of Singapore (NUS), masing-masing dari Singapura meraih kedudukan ke-11 dunia.