USM kekal universiti ke-4 terbaik dunia laksana amalan kelestarian

USM masih mengekalkan kedudukannya sebagai universiti keempat terbaik dunia dalam ranking impak THE 2021.
USM masih mengekalkan kedudukannya sebagai universiti keempat terbaik dunia dalam ranking impak THE 2021.
A
A
A

GEORGETOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) mengekalkan kedudukan keempat terbaik dunia dalam senarai terkini The Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023.

USM berada pada kedudukan tertinggi bagi tiga Sustainable Development Goals (SDG) iaitu SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh), SDG 2 (Sifar Kelaparan) dan SDG 1 (Tiada Kemiskinan).

SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat) juga adalah penilaian mandatori yang turut diambil kira dalam pengiraan pencapaian keseluruhan selain daripada tiga yang tertinggi seperti yang disebutkan.

Sebelum ini iaitu tahun 2022, USM berada di kedudukan keempat yang dikongsi bersama Universiti King Abdul Aziz, Arab Saudi.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, walaupun kali ini lebih banyak institusi yang mengambil bahagian, USM masih mampu untuk mengekalkan kedudukannya.

Abdul Rahman
Abdul Rahman

Menurutnya, ia sekali gus menjadikan USM pada kedudukan nombor satu di Asia dalam ranking kelestarian itu, selain USM unggul di kedudukan pertama dalam Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh (SDG16).

"Hal ini menyaksikan status Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) yang dianugerahkan kepada USM berjaya direalisasikan melalui visi Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok dan moto ‘Kami Memimpin’.

"Ia turut mengetengahkan bagaimana USM menyemai keunikannya untuk berdiri teguh dan menyerlah dalam kalangan institusi pengajian tinggi, bukan sahaja di persada negara namun di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kata beliau, pencapaian universiti-universiti di dunia dalam setiap daripada 17 SDG yang ditetapkan akan menentukan kedudukan mereka dalam ranking yang dibuat secara tahunan itu.

"Senarai The Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023 melibatkan penilaian terhadap 1,591 institusi di seluruh dunia berbanding 1,410 institusi pada tahun 2022.

"Ia berdasarkan kepada pencapaian dalam aktiviti dan program yang berkaitan dengan kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam SDG," katanya.

Mengulas pencapaian terkini USM, Abdul Rahman berkata, sebagai satu-satunya Universiti APEX di negara ini, USM memahami bahawa amalan kelestarian melangkaui batas akademik bertujuan untuk memberi inspirasi kepada pelajar serta kakitangannya supaya menjadi warga global yang bertanggungjawab.

"Dengan menerapkan prinsip kelestarian dalam sistem pembelajaran dan penyelidikannya, USM memperkasakan individu untuk menangani cabaran kompleks melalui penyelesaian inovatif serta menjadi pendukung kepada pembangunan lestari dalam bidang masing-masing.

“USM berbangga dengan pencapaian ini kerana ia menyerlahkan dedikasi USM untuk mencipta masa depan yang lestari, memacu perubahan positif dan memberi inspirasi kepada generasi pemimpin yang akan membentuk dunia yang mengutamakan kesejahteraan manusia dan planet ini,” katanya.

Beliau menambah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, USM telah meningkatkan usahanya dalam bidang akademik, penyelidikan, aktiviti-aktiviti jaringan industri dan komuniti serta kolaborasi di antara institusi.

"USM mengekalkan statusnya sebagai satu-satunya universiti di Malaysia yang berstatus APEX yang dianugerahkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi atas usaha berterusan dalam menjalankan pelbagai program dan aktiviti yang berkaitan dengan mendukung kelestarian, memperkasa golongan terkebawah dan juga menyokong matlamat SDG," katanya.