Misi ranking 30 terbaik dunia Pang Ron-Mei Xing

Pang Ron-Mei Xing - Foto Facebook BAM
Pang Ron-Mei Xing - Foto Facebook BAM
A
A
A

BEREGU campuran negara Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing menyasarkan ranking 30 terbaik dunia menjelang hujung tahun ini selepas merangkul gelaran Cabaran Antarabangsa Maldives 2023 minggu lalu.

Mei Xing berkata, penting bagi gandingan itu yang kini nombor 49 dunia berada pada kedudukan 30 teratas supaya dapat bermain di kejohanan lebih besar seperti acara Super 500 dan ke atas.

Malah pemain berusia 26 tahun itu menyifatkan kejayaan menentang pasangan Amerika, Vinson Chiu-Jennie Gai, 21-13, 21-18, pada pusingan akhir di Kompleks Sukan Male tersebut tepat pada masanya.

“Keputusan di sini telah meningkatkan keyakinan kami selepas mencatatkan beberapa keputusan buruk dalam kejohanan disertai sebelum ini.

“Kami kini lebih saling memahami, namun masih perlu lebih banyak latihan supaya lebih konsisten menentang beregu lebih kuat,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Kuala Lumpur pada Selasa.

Sejak muncul naib juara Cabaran Antarabangsa Iran, Februari lalu, Pang Ron-Mei Xing, yang digandingkan Disember, mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan apabila tersingkir pusingan awal empat acara Jelajah Dunia, sebelum muncul juara di Maldives.

Bukan hanya mengekalkan tahap konsisten, Pang Ron berkata mereka juga perlu tampil dengan pelbagai strategi perlawanan untuk mengatasi taktik lawan ketika di gelanggang.

“Kami tak boleh gunakan satu jenis strategi sahaja, kami perlu ada pelbagai strategi. Maksudnya kami boleh tukar strategi segera untuk disesuaikan dengan cara lawan bermain,” kata gandingan kendalian Nova Widianto itu.

Mengenai tugasan di Terbuka Taiwan 2023 minggu depan, pemain berusia 25 tahun itu berkata, mereka akan mencuba yang terbaik khususnya pada pusingan pertama bertemu satu lagi beregu negara Lee Fang Chih-Sun Wen Pei.

Terbuka Taiwan sebahagian Super 300 akan berlangsung di Tian-Mu Arena, University of Taipei, dari 20 hingga 25 Jun. - Bernama