Bot nelayan tempatan diusahakan warga asing ditahan

Bot nelayan tempatan yang diusahakan oleh warga Thailand ditahan APMM pagi semalam.
Bot nelayan tempatan yang diusahakan oleh warga Thailand ditahan APMM pagi semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas A selepas didapati menggunakan tekong dan awak-awak warga Thailand pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, bot nelayan berkenaan ditahan pada jarak 1.5 batu nautika dari barat Kuala Muda oleh bot peronda APMM yang sedang melakukan rondaan rutin di Perairan Pulau Pinang kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan ke atas bot tersebut mendapati kedua-dua warga Thailand berumur 30 tahun itu tidak memiliki permit sah untuk bekerja di atas bot tersebut.

“Bot berkenaan beserta tekong dan seorang awak-awak diiringi ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik bot tidak usaha sendiri dan Akta Imigresen 1963 kerana tekong dan awak-awak tidak mempunyai kebenaran bekerja di Perairan Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini.

Dalam pada itu, Hamizan turut mengingatkan pemilik bot haruslah mematuhi peraturan-peraturan dalam buku lesen vesel yang dikeluarkan Jabatan Perikanan Malaysia dan menegaskan APMM Pulau Pinang akan terus menggandakan usaha bagi mencegah berlakunya sebarang kesalahan di laut.

Katanya, orang awam diminta agar bekerjasama dalam melaporkan sebarang kejadian menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 / 04-2643650.

Artikel Berkaitan: