Mayat awak-awak warga Thailand ditemui terapung

Ops Carilamat Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah ditamatkan selepas penemuan mayat awak-awak di kedudukan 2.0 batu nautika dari Pulau Bidan, Yan pada Sabtu.
Ops Carilamat Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah ditamatkan selepas penemuan mayat awak-awak di kedudukan 2.0 batu nautika dari Pulau Bidan, Yan pada Sabtu.
A
A
A

KUALA KEDAH - Mayat awak-awak bot yang dikhuatiri lemas pada Jumaat telah ditemui terapung di kedudukan 2.0 batu nautika dari Pulau Bidan, Yan dekat sini pada Sabtu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 8.30 pagi oleh bot nelayan tempatan dengan masih lengkap berpakaian.

Menurutnya, mayat pemuda terbabit dibawa naik ke bot penyelamat milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berikutan keadaan laut yang agak teruk dan muara yang cetek.

"Mayat kemudiannya dibawa ke Jeti Sungai Udang Yan dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

"Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) ditamatkan pada jam 10.30 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Noor Azreyanti berkata, Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Kuala Kedah mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan.

"Antaranya, memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB),"katanya.

Zon Maritim Kuala Kedah juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan seorang awak-awak warga Thailand dikhuatiri lemas di kedudukan 1.8 batu nautika barat daya Pulau Bidan, di sini pada Khamis.

Kehilangan mangsa dikenali sebagai Donbagee Tingsa, 33, disedari tekong apabila awak-awak itu tiada ketika bot nelayan berpangkalan di Tanjung Dawai itu sedang memukat ikan bilis pada jam 2.25 petang.