Penolong Jurutera JPS, kontraktor direman kes tuntutan palsu

Penolong Jurutera JPS (berbaju kotak) dan kontraktor (dua dari kanan) tiba di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini untuk direman bagi membolehkan siasatan dijalankan dibawah Akta SPRM 2009.
A
A

IPOH - Seorang penolong jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan seorang kontraktor direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu membabitkan empat sebut harga berjumlah RM720,000 tahun lalu.

Perintah reman sehingga 24 Jun terhadap jurutera lelaki berusia 58 tahun serta kontraktor berusia 57 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Hafizah Muhammad Pauzi di Mahkamah Majistret Ipoh.

Permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kedua-dua mereka ditahan bersama dua pegawai JPS masing-masing berusia 47 dan 49 tahun antara jam 7.20 hingga 8.20 malam di Pejabat SPRM Perak semalam.

Mereka ditahan kerana dipercayai terlibat dengan tuntutan yang mengandungi butiran palsu bagi kerja-kerja baik pulih sungai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Perak Tengah.

Bagaimanapun, dua pegawai terlibat telah dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan dua lelaki itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia