Selesai cara rundingan isu tanah orang asli Kuala Masai

Poh Lai (kanan) berbincang dengan orang asli Kuala Masai.
Poh Lai (kanan) berbincang dengan orang asli Kuala Masai.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi, di sini, menggalakkan rundingan dapat dilakukan antara orang asli Kuala Masai dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor berhubung tuntutan yang dibuat berkenaan isu pampasan tanah oleh suku kaum Seletar itu.

Peguam yang mengendalikan kes tersebut, Tan Poh Lai berkata, tindakan semakan kehakiman mandamus yang difailkan sebelum ini adalah amat serius yang perlu diambil perhatian.

"Pada hari ini, mahkamah mohon pihak PTG Johor supaya mengadakan satu rundingan sekurang-kurangnya sebelum tarikh sebutan kes akan datang iaitu 5 Ogos.

"Jadi, saya harap dan merayu pada pihak responden supaya berunding dengan pihak plaintif dan tindakan ini merupakan keinginan kami dari hari pertama lagi supaya kita boleh menyelesaikan perkara ini dengan rundingan tanpa lawan habis-habisan di mahkamah seperti ini," katanya.

Beliau berkata demikian di luar perkarangan Mahkamah Tinggi Sivil, selepas prosiding kes berkenaan, di sini, hari ini.

Tuntutan rampasan tanah di kawasan Stulang Laut, di sini yang tertangguh sejak 2010 itu melibatkan 51 orang asli Seletar yang telah dipindahkan ke Kampung Orang Asli Kuala Masai, di sini.

Sebelum ini, PTG Johor mahu membayar hanya RM5,000 untuk setiap keluarga yang menuntut, bagaimanapun orang asli Kuala Masai mahu ia dibayar mengikut nilai harga semasa.

Poh Lai berkata, pihaknya sebenarnya tidak mahu memfailkan tindakan semakan kehakiman mandamus, bagaimanapun pihaknya tiada pilihan lain.

"Sehingga kini, pihak kerajaan negeri juga tidak memberi sebarang respons walaupun pernah memaklumkan mahu membantu menyelesaikan isu tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan: