Geng Gemuk buat hal lagi

Tong gas yang dirampas dalam serbuan yang dilakukan KPDNHEP pagi semalam.
Tong gas yang dirampas dalam serbuan yang dilakukan KPDNHEP pagi semalam.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Walaupun pernah diserbu sebelum ini namun sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) didalangi kumpulan yang dikenali 'geng gemuk' dilihat tidak serik dengan melakukan perbuatan sama di Kampung Teluk di sini.

Namun, perbuatan mereka berjaya dihidu penguat kuasa apabila premis yang digunakan untuk melakukan pemindahan gas LPG diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang awal pagi semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Seberang Perai Tengah (SPT), Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, serbuan yang dilakukan jam 6 pagi itu merampas 98 tong LPG 14 kilogram (kg) bersubsidi dan 28 tong industri iaitu LPG 50kg serta 24 unit hos yang kesemuanya dianggarkan bernilai kira-kira RM12,000.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan terdapat beberapa ahli sindiket yang sedang membuat pemindahan gas namun selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa kesemua mereka bertindak melarikan diri.

"Siasatan mendapati sindiket ini telah menjalankan kegiatan haram mereka sejak tiga tahun lalu.

"Mereka dipercayai mengupah tonto untuk mengawasi premis berkenaan ketika pekerja sedang menjalankan pemindahan LPG dari tong subsidi ke tong industri," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Ahmad Ahrazzuddin berkata, selain serbuan yang dilakukan pagi semalam, pihaknya telah beberapa kali menyerbu premis itu termasuk di beberapa lokasi lain sekitar Nibong Tebal yang di dalangi kumpulan sama berkenaan sejak awal tahun ini.

Katanya, mereka menjalankan kegiatan tersebut secara berpindah randah bagi mengelak dikesan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka sanggup mengambil risiko dengan menjadikan beberapa lokasi yang sama sebagai tempat memindahkan gas bersubsidi demi mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan.

"Kami sedang mengesan anggota sindiket itu untuk siasatan lanjut, identiti mereka telah dikenal pasti dan kes berkenaan di siasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.