Polis cedera diserang dengan pemutar skru

Kesan kecederaan yang dialami oleh anggota polis selepas diserang dengan pemutar skru.
Kesan kecederaan yang dialami oleh anggota polis selepas diserang dengan pemutar skru.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM- Seorang anggota polis terpaksa menerima tiga jahitan di bahagian perut selepas tercedera akibat diserang dengan pemutar skru dalam satu kejadian di kawasan Industri Kecil Sederhana (IKS) Malaysia-Kuwait di Jalan Permatang Tinggi, Bukit Tengah di sini petang semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 petang itu, anggota berpangkat koperal dari unit kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan sebelum melihat seorang lelaki yang duduk di atas motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika kedua-dua anggota polis terbabit cuba menghampiri lelaki terbabit, secara tiba-tiba lelaki berkenaan mengeluarkan pemutar skru dan menyerang salah seorang anggota polis berkenaan.

"Berlaku pergelutan di antara mereka dan suspek telah menikam di bahagian perut mangsa dan kemudiannya telah menikam lengan tangan kiri mangsa menggunakan pemutar skru.

"Bagaimanpun suspek yang berusia 38 tahun itu berjaya ditenangkan dan ditahan sebelum polis merampas pemutar skru yang digunakan," katanya ketika dihubungi di sini.

Nik Ros Azhan berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap lelaki berkenaan mendapati dia negatif daripada sebarang pengaruh dadah.

Katanya, mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk mendapatkan rawatan.

"Suspek yang mempunyai tiga rekod lampau bersabit kesalahan dadah kini direman selama dua hari untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Artikel Berkaitan: