Pramugara, kekasih tak mengaku pecah kedai dobi layan diri

Kedua-dua tertuduh (berbaju lokap) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah kedai dobi dan cuba curi dalam bangunan, di dua buah kedai dobi di Kuala Nerus.
Kedua-dua tertuduh (berbaju lokap) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah kedai dobi dan cuba curi dalam bangunan, di dua buah kedai dobi di Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pramugara bersama kekasihnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas dua pertuduhan cuba mencuri dan memecah masuk kedai di dua kedai dobi layan diri di Kuala Nerus.

Tertuduh, Remy Izwan Roseli, 39, dari Petaling Jaya, Selangor dan teman wanitanya, Aimi Shairai Ismail, 32, dari Pasir Panjang, di sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana cuba curi dalam bangunan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama cuba mencuri di dalam kedai dobi di Blok D Rimba Square, Kuala Nerus, milik Mohd Juman Che Azani, 35, antara jam 4 pagi hingga 4.53 pagi, pada 7 Jun lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 34 kanun sama.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa melakukan pecah kedai dobi di Dataran Tembesu, Kuala Nerus, milik Noor Hamilah Yahya, 47, dan mencuri wang lebih kurang RM1,000, antara jam 5.48 pagi hingga 7.20 pagi, hari yang sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara 14 tahun dan denda.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Ridhuan Mohimadin di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sejurus pengakuan tidak salah mereka direkodkan, mahkamah membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM6,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 2 Julai depan bagi sebutan semula kes untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.