Pengurusan kes tuntutan harta Jamaludin Jarjis 25 Julai

A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur di sini menetapkan 25 Julai bagi pengurusan kes tuntutan harta sepencarian yang dikemukakan balu Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis.

Pendaftar Mahkamah Syariah Hadi Hamad menetapkan tarikh tersebut pada pengurusan kes itu dalam satu prosiding dalam kamarnya hari ini.

Prosiding itu dihadiri Peguam Syarie Nur Hidayah A. Bakar yang mewakili ibu Allahyarham, Aminah Abdullah, peguam Datuk Shamsuriah Sulaiman yang mewakili balu Jamaluddin, Puan Sri Dr. Kalsom Ismail, dan Zuri Zabuddin Budiman bagi pihak empat anak Jamaluddin iaitu Ikwan Hafiz, 32, Nur Anis, 34, Nurul Alyaa, 28, dan Noor Adilla, 24.

Kesemua plaintif dan defendan bagaimanapun tidak hadir pada prosiding itu.

Hidayah ketika ditemui pemberita memaklumkan, mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan pada prosiding pengurusan kes itu kelak.

"Tarikh itu juga adalah tarikh sama dengan sebutan bantahan awal isteri dan empat anak Jamaluddin berhubung permohonan ibu Jamaluddin untuk mendapatkan sijil faraid bagi pembahagian harta peninggalan yang bernilai kira-kira RM2 bilion," katanya.

Kalsom memfailkan tuntutan harta sepencarian itu pada Oktober tahun lepas namun tidak menyatakan perincian harta itu.

Pada 2 Mac 2018, Aminah, selaku pemohon memfailkan permohonan mendapatkan sijil faraid untuk pembahagian harta Allahyarham yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion mengikut Seksyen 46(ix) Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Permohonan faraid itu difailkan oleh Aminah bagi menentukan bahagian-bahagian kepada waris yang berhak dalam harta pusaka milik Allahyarham Jamaluddin.

Antara harta yang perlu di masukkan di dalam senarai untuk difaraid adalah lebih 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Mekah serta syarikat milik Jamaluddin.

Jamaluddin, 64, yang juga Ahli Parlimen Rompin itu terkorban akibat nahas helikopter yang terhempas dan terbakar di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih di sini kira-kira pukul 4.55 petang pada 4 April 2015.

Lima lagi mangsa yang terkorban ialah Ketua Setiausaha Sulit bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias, juruterbang Kapten Clifford William Fournier; pembantu juruterbang, Aidana Baizieva; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang dan seorang anggota polis yang juga pengawal peribadi Jamaluddin iaitu Koperal Razakan Seran.

Kesemua mereka menaiki helikopter dari Kuantan selepas menghadiri majlis perkahwinan anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia