Pengurusan kes rayuan tukar agama tiga anak pada 31 Julai

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PUTRAJAYA - Rayuan ibu tunggal, Loh Siew Hong untuk membatalkan penukaran agama tiga anaknya kepada Islam secara unilateral tanpa persetujuannya ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya pada 31 Julai.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mariam Hasanah Othman menetapkan tarikh pengurusan kes itu untuk mengemas kini status rekod rayuan.

Ketika dihubungi Bernama, peguam A Srimurugan, yang menghadiri prosiding pengurusan kes pada Khamis berkata, beliau telah memaklumkan timbalan pendaftar itu bahawa beliau masih menunggu alasan penghakiman Mahkamah Tinggi.

Turut hadir pada pengurusan kes itu ialah peguam Danial Farhan Zainul Rijal yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Penolong Penasihat Undang-undang Perlis, Ainul Wardah Shahidan bagi pihak Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, kerajaan negeri Perlis dan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis.

Siew Hong, 36, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei yang menolak permohonan semakan kehakimannya untuk mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam oleh bekas suaminya, seorang mualaf, tanpa persetujuannya.

Ibu tunggal itu yang memfailkan permohonan itu pada 25 Mac tahun lepas, menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Dr Mohd Asri dan kerajaan negeri Perlis sebagai responden.

Beliau memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya beragama Hindu dan bekas suaminya, M Nagahswaran, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya.

Wanita itu juga memohon pengisytiharan bahawa anak-anaknya, sebagai kanak-kanak, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk memeluk Islam tanpa persetujuannya dan juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan pengisytiharan pemelukan agama Islam, bertarikh 7 Julai 2020, yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf Perlis atas nama tiga anaknya. - Bernama