Wang jaminan Guan Eng diderma kepada PFF

ad
ad
A
A
A
GEORGETOWN - Wang jaminan RM1 juta membabitkan dua kes rasuah bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng akan didermakan kepada program biasiswa kerajaan negeri, Penang Future Foundation (PFF).

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, wang yang berjaya dikumpul termasuk faedah bernilai RM1.038 juta itu akan digunakan sebagai insentif kepada golongan muda untuk menyambung pelajaran mereka.

Menurutnya, DAP Pulau Pinang amat terhutang budi kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah menyumbang wang tersebut selepas Guan Eng dituduh dengan dua kes rasuah pada 2016.

"Wang terkumpul berjumlah RM1.038 juta itu akan disumbangkan kepada PFF bagi membantu pelajar cemerlang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Terima kasih kepada rakyat yang sentiasa prihatin ketika kerajaan negeri berada dalam kesusahan.

"Malah mereka juga telah melaksanakan peranan mereka sebagai rakyat terhadap Malaysia Baharu. Dengan sumbangan ini, DAP berharap agar pelajar di PFF mencontohi pengorbanan yang dibuat Guan Eng," katanya kepada media tadi.

Tambahnya, PFF yang ditubuhkan pada 2015 telah membiayai lebih 300 pelajar yang akan kembali ke negeri ini untuk bekerja dan memastikan Pulau Pinang mencapai impiannya sebagai negeri pintar, hijau dan mengutamakan keluarga.

PFF ditubuhkan kerajaan negeri pada 2015 bagi membantu anak tempatan yang cemerlang mengikuti pengajian tinggi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, perakaunan, di institusi pengajian tinggi dalam negara.

September lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Guan Eng yang kini Menteri Kewangan daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.
Artikel Berkaitan:


Bagi pertuduhan pertama, Guan Eng dituduh sebagai penjawat awam, iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannnya untuk mendapatkan suapan untuk dirinya dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan penukaran tanah pertanian kepada perumahan awam di daerah barat daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Guan Eng, 57, didakwa melakukan kesalahan itu semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan KOMTAR pada 18 Julai, 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Atas pertuduhan kedua, Guan Eng, sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, dituduh mendapatkan untuk dirinya satu lot tanah dan banglo di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town, pada harga yang dia tahu tidak sepadan dengan nilainya, daripada Phang pada harga RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran ketika itu ialah RM4.27 juta.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di No 25, Jalan Pinhorn, George Town, pada 28 Julai, 2015.

Tuduhan itu, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.