KPDNHEP keluar notis kepada 19 syarikat minta penjelasan harga simen naik

Saifuddin Nasution
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengeluarkan notis kepada 19 buah syarikat pengeluar simen di seluruh negara bagi mendapatkan penjelasan mengenai kenaikan harga bahan tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP akan segera mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kepada pihak syarikat terbabit dan mereka perlu berikan penjelasan dalam tempoh tujuh hari.

Jelas beliau, kegagalan pihak syarikat untuk menjawab notis tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan akan menyebabkan dikenakan tindakan undang-undang di bawah akta tersebut.

"Untuk makluman, sebarang keputusan oleh mana-mana syarikat pengeluar simen yang berlesen untuk menaikkan harga simen perlu terlebih dahulu dirujuk dan mendapat kelulusan KPDNHEP.

"Ini telah dinyatakan dalam Syarat-Syarat Khas bagi Pemborong Simen di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan bukan keputusan mutlak syarikat pengeluar simen," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, pihaknya masih belum menerima sebarang makluman rasmi daripada syarikat pengeluar simen berkenaan isu kenaikan harga simen itu dan telah mengarahkan agar mereka segera berbuat demikian.

"Kerajaan menyeru agar sebarang pengumuman yang bersifat sensitif seperti ini dibincangkan dan dirujuk bersama terlebih dahulu agar kepentingan rakyat dan pihak-pihak terlibat akan dilindungi," ujar beliau.

Semalam, media melaporkan Kementerian Kewangan akan mengadakan perbincangan dengan KPDNHEP berhubung isu kenaikan harga simen secara mendadak bermula kelmarin.

Difahamkan isu itu dibangkitkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) yang mengatakan mereka menerima notis kenaikan harga simen sebanyak 40 peratus pada 3 Jun lalu dan ia berkuatkuasa pada 15 Jun dan 1 Julai.

Berdasarkan laporan itu, 85 peratus bekalan simen negara dikuasai oleh sebuah syarikat sahaja dan menjangkakan kenaikan mendadak daripada RM10 kepada RM16 itu dijangka akan menyebabkan harga rumah terutama rumah mampu milik.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati pembekal simen di Kuantan, Pahang memaklumkan harga simen dijangka akan meningkat daripada RM14 kepada RM18 bagi satu beg simen.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia