Penguatkuasa MBPJ terlibat rasuah diarah henti tugas luar

Ng Sze Han
Ng Sze Han
A
A
A

PETALING JAYA - Beberapa anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang disyaki terlibat dalam kes meminta suapan di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah diarah berhenti menjalankan tugas di luar pejabat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, siasatan dalaman juga sedang dijalankan terhadap anggota penguat kuasa terbabit.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan pengendali perniagaan di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya yang membuat laporan mendakwa ada pegawai penguat kuasa meminta rasuah sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan saman terhadap mereka.

Laporan itu dibuat di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini oleh salah seorang pengendali perniagaan yang mewakili tiga peniaga lain.

Menurutnya, beliau sudah mengarahkan MBPJ memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM.

“Kerajaan Selangor tidak berkompromi terhadap sebarang kelakuan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa di pentadbiran negeri ini.

“Kami mengalu-alukan penglibatan SPRM untuk menyiasat kes tersebut dan MBPJ sudah diarah untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, menerima dan memberi suapan adalah satu kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tiada tempat bagi golongan perasuah dalam pentadbiran kerajaan Malaysia Baharu.

“Kerajaan Selangor komited membanteras rasuah sekeras-kerasnya demi melahirkan sebuah pentadbiran telus, bersih dan amanah.

“Orang ramai dinasihati supaya menjauhi pemberian suapan dan diminta untuk membuat laporan dengan kadar segera sekiranya mendapati berlakunya kelakuan-kelakuan tersebut,” katanya.