MAIS gesa kerajaan ambil tindakan drastik tangani banjir

Salehuddin - FOTO: Mohd Halim Abdul Wahid
Salehuddin - FOTO: Mohd Halim Abdul Wahid
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengambil tindakan drastik bagi menangani masalah banjir yang berlaku di negeri Selangor.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, banjir bukan sahaja menjejaskan masjid dan aktiviti ibadah umat Islam, malah turut memberi kesan kepada seluruh rakyat di negeri itu.

Menurutnya, langkah yang diambil haruslah merangkumi perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani masalah banjir secara menyeluruh.

“Banjir ini kita tahu bukan sekadar melibatkan masjid dan orang Islam tetapi ia melibatkan keseluruhan rakyat di negeri Selangor.

“Bukan setakat mereka tidak dapat beribadah di masjid, tetapi pekerjaan, harta benda, rumah mereka dan sebagainya turut terjejas,” katanya ketika sidang media di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Masjid At-Taufiqiah di Bandar Seri Coalfields dilanda banjir sejak 2021 sebanyak tujuh kali menyebabkan ia terpaksa ditutup sementara selepas ditenggelami air.

Dalam pada itu, beliau berkata, MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama anak syarikat MAIS termasuk Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah turun padang bagi menyalurkan bantuan kepada keluarga yang terjejas akibat banjir.

Salehuddin berkata, pihaknya turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM300 kepada setiap keluarga terjejas sebagai tanda keprihatinan terhadap kesukaran yang dihadapi mangsa.

“Walaupun jumlah ini mungkin tidak banyak, sekurang-kurangnya ia menunjukkan bahawa pihak JAIS dan MAIS sentiasa prihatin terhadap masalah yang dihadapi masyarakat akibat banjir,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan bahawa MAIS dan JAIS sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan sekiranya berlaku banjir di kawasan lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!