Cadang tubuh jawatankuasa tetap tangani isu alam sekitar

Abdul Aziz
Abdul Aziz
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri mencadangkan sebuah majlis atau jawatankuasa tetap bagi menangani pelbagai isu alam sekitar ditubuhkan.

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, penubuhan majlis itu dapat menyelaraskan tindakan dan dasar antara kerajaan pusat dan negeri dengan lebih berkesan.

Menurutnya, kewujudan majlis itu penting berikutan kerajaan negeri tidak mempunyai kepakaran dan dana yang mencukupi dalam usaha mengatasi masalah alam sekitar.

“Walaupun tidak mempunyai status undang-undang seperti Majlis Tanah Negara dan Majlis Kewangan Negara, tetapi sekurang-kurangnya kedua-dua kerajaan pusat dan negeri dapat berhubung dan berkongsi maklumat.

“Dengan kewujudan majlis tetap itu, segala tindakan dan dasar itu dapat dijalankan dengan secara serentak dan berkesan,” katanya.

Abdul Aziz (tengah) bermesra dengan ahli Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Perak pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 kelmarin.
Abdul Aziz (tengah) bermesra dengan ahli Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Perak pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 kelmarin.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 anjuran Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Perak di sini, kelmarin.

Abdul Aziz yang juga ADUN Tebing Tinggi berkata, majlis itu diharapkan dapat dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan pusat dalam menangani masalah alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

“Saya yakin majlis tetap ini dapat menyelaraskan keseragaman untuk semua negeri melalui komunikasi dua hala termasuk berhubung dengan teknologi dari luar negara.

“Dengan adanya majlis ini, banyak perkara dapat diselesaikan dan ditangani. Jadi, kita harap kerajaan pusat dapat faham dan pihak negeri akan akur keperluan majlis ini,” katanya.

Abdul Aziz turut berharap dana tambahan sebanyak RM60 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini untuk menangani masalah alam sekitar dapat disalurkan secara khusus kepada kerajaan negeri.