Jambatan tenggelam kali kedua

Anggota APM meninjau keadaan Sungai Neggiri di jambatan sementera Pulau Setelu.
Anggota APM meninjau keadaan Sungai Neggiri di jambatan sementera Pulau Setelu.
A
A
A
GUA MUSANG - Sudah menjadi kebiasaan setiap kali tiba musim tengkujuh, jambatan sementara Pulau Setelu yang merentasi Sungai Nenggiri di sini, akan tenggelam apabila hujan berterusan di kawasan hulu.

Sejak Bah Kuning 2014, hampir 30 kali jambatan ini tenggelam dan pada musim tengkujuh ini, sudah dua kali struktur berkenaan ditenggelami air.

Jambatan yang menghubungkan Jalan Gua Musang-Jeli ini adalah satu-satunya laluan utama penduduk di kampung seberang untuk ke bandar.

Penjaga jambatan, Mohd Rohaizad Che Soh, 41, berkata, setiap kali tiba musim tengkujuh, jambatan berkenaan akan tenggelam sekali gus merencatkan aktiviti harian serta tugas penduduk di kampung seberang.

Katanya, terdapat 13 kampung berada di seberang di mana ia melibatkan lebih 300 pelajar di sekolah rendah dan menengah.

"Di musim cuti persekolahan, situasi ini memberi kesukaran kepada pekerja yang berada di seberang sungai kerana mereka perlu menggunakan alternatif lain seperti bot untuk merentasi sungai.

"Apabila tiba musim persekolahan, ia makin rumit sekiranya jambatan tenggelam kerana pelajar perlu berulang alik menggunakan bot tambang.

"Ada laluan lain iaitu melalui Sungai Sam, Kuala Krai, namun ia terlalu jauh dan melibatkan kos serta jarak," katanya lagi.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang, Mohd Yussalmi Mohd Yusoff berkata, jambatan berkenaan ditutup buat kali kedua pada jam 9 pagi tadi (semalam).
Artikel Berkaitan:


Katanya, arus sungai yang deras serta menenggelamkan sebahagian struktur jambatan itu membahayakan pengguna kerana ia tidak disertakan dengan penghadang.

"Bukan sahaja dengan kenderaan, malah kita tidak membenarkan pengguna laluan berjalan kaki di jambatan berkenaan kerana arus deras.

"Ini ekoran hujan masih berlanjutan di kawasan hulu. Kita juga mengarahkan anggota ke lokasi untuk meninjau keadaan laluan agar tidak berlaku sebarang kejadian buruk.

"Keadaan sungai masih menunjukkan trend menaik sehingga petang ini (semalam)," katanya lagi.

Jambatan sementara ini adalah alternatif buat penduduk kampung sementara menunggu jambatan kekal siap.

Jambatan kekal yang menelan kos hampir RM36.7 juta merentasi Sungai Nenggiri di Kampung Pulau Setelu itu dijangka siap pada tahun ini.