Scam: Guru rugi RM6,800 diperdaya sindiket pinjaman

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang guru kerugian RM6,800 selepas terperdaya dengan sindiket pinjaman tidak wujud semalam.

Mangsa berusia 59 tahun itu dikatakan telah melihat satu iklan di laman Facebook yang menawarkan pinjaman wang dengan kadar segera dan mahu membuat pinjaman sebanyak RM60,000.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, akibat percayakan agensi pinjaman terbabit, mangsa telah membuat beberapa bayaran yang dipercayai untuk wang proses dan kos pinjaman.

Menurutnya, mangsa telah memindahkan kesemua wang simpanan miliknya ke akaun suspek dengan percaya akan menerima wang pinjaman dengan cepat.

"Namun mangsa sedar ditipu apabila gagal wang yang mahu dipinjam tidak diterima," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Sementara itu dalam kes yang berasingan, seorang pekerja swasta kerugian RM5,000 selepas diperdaya dengan individu yang menyamar sebagai rakannya untuk meminjam wang.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang yakin dengan penjelasan suspek telah membuat pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan selain diyakinkan rakannya itu akan pulangkan wang pinjaman dalam kadar segera.

Namun mangsa yang berusia 29 tahun itu disedari telah ditipu apabila telah berhubung dengan rakannya yang sebenar dan mendakwa tidak pernah berhubung dengan pengadu untuk tujuan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Noorzainy berkata, dalam kedua-dua kes ini mangsa tidak pernah berjumpa dengan individu suspek namun hanya percaya melalui media sosial dan percakapan telefon.

Beliau menasihatkan agar orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang iklan di laman sosial yang menawarkan pinjaman wang.

"Usah percaya dengan panggilan telefon daripada individu yang dakwa kenalan rapat untuk tujuan pinjaman wang.

“Kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.