Kisah Si Kusta, Botak dan Buta yang Kufur Nikmat

A
A
A

HIDUP ini adalah satu ujian. Ujian pula boleh datang dalam pelbagai bentuk. Ada insan yang diuji dengan kesusahan, keperitan, penderitaan dan kesakitan. Ada pula insan yang diuji dengan kesenangan, kemewahan, keseronokan dan kebahagiaan. Antara dua bentuk ujian ini, setiap insan pasti akan menghadapinya kerana ujian adalah pelengkap kepada kehidupan.

Saat diuji dengan kesusahan, kebiasaannya ia akan membawa manusia untuk semakin hampir dengan Sang Pencipta. Rukuk dan sujud penuh keinsafan. Merasai kekerdilan, kehinaan dan kelemahan hakikat diri. Lalu, merayu dan mengadu agar dilepaskan dari segala kesusahan yang sedang dihadapi.

Tatkala diuji dengan kesenangan, kadangkala inilah detik merbahaya bagi sebahagian insan. Kesenangan dan kemewahan yang dikecapi, gagal membentuknya menjadi hamba yang semakin taat dan bersyukur. Bahkan, semakin lalai dan alpa kepada Pencipta. Sombong dan bongkak sesama manusia.

Kisah tiga peribadi yang diabadikan di dalam al-Quran adalah salah satu contoh yang perlu sentiasa kita jadikan iktibar. Firaun, Haman dan Qarun. Apa sikap mereka terhadap ALLAH Azza wa Jalla? Bagaimana mereka berinteraksi sesama manusia lain? Lalu bagaimana pula kesudahan hidup mereka?

Mukmin sejati

Rasulullah SAW juga sering kali mengingatkan kita tentang dua sifat yang perlu menjadi dua sayap seorang mukmin. Sabar di atas ujian dan syukur dengan kurniaan. Dua sayap ini menjamin seorang mukmin mampu terbang menempuhi alam kehidupan dengan seimbang.

Di dalam sebuah hadis, baginda pernah menceritakan perihal tiga orang lelaki dari kalangan Bani Israil yang diuji. Dua orang gagal dengan ujian ini akibat sombong dan alpa. Hanya seorang yang berjaya dek kerana rasa syukur dan sedar hakikat diri.

Dari Abu Hurairah RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya terdapat tiga orang dari Bani Israil, iaitu: seorang menderita sakit kusta, seorang berkepala botak, dan seorang lagi buta. ALLAH ingin menguji mereka bertiga, maka diutuskan seorang malaikat kepada mereka."

Artikel Berkaitan:

Pertama, malaikat itu pergi kepada si penderita sakit kusta dan bertanya kepadanya: "Apakah sesuatu yang paling kamu inginkan?" Dia menjawab: "Rupa yang elok, kulit yang indah, dan apa yang telah menjijikkan orang ramai ini hilang dari tubuhku." Maka diusapnya kulit pesakit kusta itu dan hilanglah penyakit yang dideritainya, serta diberi rupa yang elok dan kulit yang indah.

Malaikat pun bertanya lagi kepadanya: "Kekayaan apa yang paling kamu sukai?" Jawabnya: "Unta atau lembu." Maka diberikan kepadanya seekor unta yang bunting dan didoakan: "Semoga ALLAH melimpahkan berkat-Nya kepadamu dengan unta ini."

Kemudian Malaikat itu pergi kepada orang yang berkepala botak dan bertanya kepadanya: "Apakah sesuatu yang paling kamu inginkan?" Dia menjawab: "Rambut yang indah, dan hilang dari kepalaku apa yang telah menjijikkan orang ramai." Apabila Malaikat itu mengusap kepala orang yang botak itu, maka hilanglah penyakitnya serta tumbuhlah rambut yang indah.

Malaikat pun bertanya lagi kepadanya: "Kekayaan apa yang paling kamu sukai?" Jawabnya: "Lembu atau unta." Maka diberikan dia seekor lembu bunting dan didoakan: "Semoga ALLAH melimpahkan berkat-Nya kepadamu dengan lembu ini."

Seterusnya Malaikat tadi pergi kepada si buta dan bertanya kepadanya: "Apakah sesuatu yang paling kamu inginkan?" Dia menjawab: "Semoga ALLAH berkenan mengembalikan penglihatanku sehingga aku dapat melihat." Maka diusapnya wajah orang buta itu, dan ketika itu dikembalikan oleh ALLAH penglihatannya. Malaikat pun bertanya lagi kepadanya: "Kekayaan apa yang paling kamu sukai?" Jawabnya: "Kambing." Maka diberikan seekor kambing bunting kepadanya.

Perintah ALLAH

Waktu berlalu, maka berkembang biaklah unta, lembu dan kambing tersebut, sehinggalah lelaki pertama tadi mempunyai unta yang memenuhi sebuah lembah. Lelaki kedua pula mempunyai selembah lembu dan lelaki ketiga mempunyai selembah kambing.

Dengan perintah ALLAH datanglah Malaikat itu lagi kepada orang yang sebelumnya menderita sakit kusta dengan menyerupai dirinya dulu dan berkata: "Aku ini seorang miskin, telah terputus segala jalan bagiku (untuk mencari rezeki) dalam perjalananku, sehingga aku tidak akan dapat meneruskan perjalananku hari ini kecuali dengan pertolongan ALLAH, kemudian dengan pertolongan kamu. Demi ALLAH yang telah memberi kamu rupa yang elok, kulit yang indah, dan kekayaan ini, aku meminta kepada kamu seekor unta saja untuk bekal melanjutkan perjalananku." Tetapi lelaki pertama itu menjawab: "Hak-hak (tanggunganku) banyak."

Malaikat yang menyerupai orang pesakit kusta itu pun berkata kepadanya: "Sepertinya aku mengenal kamu. Bukankah kamu ini yang dulu menderita sakit kusta, orang ramai jijik kepada kamu, lagi pula orang melarat, lalu ALLAH memberi kamu kekayaan?" Dia malah menjawab: "Sesungguhnya, harta kekayaan ini aku warisi turun-temurun dari nenek moyangku yang mulia lagi terhormat." Maka Malaikat itu berkata kepadanya: "Jika kamu berkata dusta, nescaya ALLAH akan mengembalikan kamu kepada keadaan kamu dahulu." Setelah malaikat meninggalkannya, maka dengan serta merta ALLAH mengembalikan semula penyakitnya dulu dan segala kekayaannya lenyap.

Kemudian malaikat tersebut pergi pula kepada orang yang sebelumnya botak dengan menyerupai dirinya dulu dan berkata kepadanya seperti yang dikatakan kepada orang yang pertama. Namun dia ditolak juga sebagaimana telah ditolak oleh orang pertama itu. Maka berkatalah Malaikat kepadanya: "Jika kamu berkata dusta, nescaya ALLAH akan mengembalikan kamu kepada keadaan seperti dahulu." Bila Malaikat itu beredar, demikianlah juga ALLAH mengembalikan keadaan orang itu seperti dulu berkepala botak dan miskin.

Akhirnya, Malaikat tadi pergi pula kepada orang yang sebelumnya buta dengan menyerupai dirinya dulu, dan berkata kepadanya: "Aku adalah seorang miskin, kehabisan bekal dalam perjalanan dan telah terputus segala jalan bagiku (untuk mencari rezeki) dalam perjalananku ini, sehingga aku tidak akan dapat lagi meneruskan perjalananku hari ini kecuali dengan pertolongan ALLAH, kemudian dengan pertolongan kamu. Demi ALLAH yang telah mengembalikan penglihatan kamu, aku meminta seekor kambing saja untuk bekal melanjutkan perjalananku."

Orang itu menjawab: "Sungguh, dahulu aku buta, lalu ALLAH mengembalikan penglihatanku. Maka, ambillah apa yang kamu suka dan tinggalkan apa yang kamu tidak suka. Demi ALLAH, sekarang ini aku tidak akan menyusahkan kamu dengan memintamu mengembalikan sesuatu yang telah kamu ambil kerana ALLAH." Malaikat yang menyerupainya pun berkata: "Peganglah kekayaan kamu, kerana sesungguhnya kalian ini hanyalah diuji oleh ALLAH. ALLAH telah reda kepada kamu, dan murka kepada kedua temanmu." (Riwayat al-Bukhari (3464), Muslim (2964).

UJIAN

Ujian boleh datang dalam pelbagai bentuk. Kita semua tahu semua yang dimiliki hari ini adalah milik dan kurniaan ALLAH. Kita tahu cuma kadang-kadang kita tidak sedar lalu membawa kepada kelalaian. Kesedaran inilah yang membezakan manusia yang tahu untuk bersyukur dan yang lena dibuai kenikmatan dunia, lalu dia mengkufurinya. Semoga kita dikurniakan jiwa yang tahu dan sedar agar menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur.