Lelaki jerut kucing dipenjara 15 bulan

Tertuduh, seorang pekerja gerai mengaku bersalah menjerut kucing jantan itu menggunakan tali rafia sebelum menggantungnya di hadapan sebuah rumah.
Tertuduh, seorang pekerja gerai mengaku bersalah menjerut kucing jantan itu menggunakan tali rafia sebelum menggantungnya di hadapan sebuah rumah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbuatan kejam seorang pekerja gerai yang tergamak menjerut seekor kucing jantan sehingga mati dalam satu kejadian di sebuah pangsapuri di Wangsa Maju baru-baru ini terbalas apabila dipenjara 15 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Al Azri Norhisham, 28, selepas dia mengaku bersalah menjerut kucing jantan itu menggunakan tali rafia sebelum menggantungnya di hadapan sebuah rumah.

Lelaki itu diperintah menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh jatuh hukum hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kejam! Jerut, gantung kucing sampai mati

Mengikut pertuduhan, Al Azri didakwa telah meneruskan niat secara tidak munasabah menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya kepada seekor kucing jantan di tangga Blok A3, Jalan 4/27 a Seksyen 2 Wangsa Maju jam 10 Jun 2019 jam 1.30 petang.

Dakwaan bagi kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 29(1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang membawa hukuman denda minimun RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mohd Ashif memohon mahkamah memberikan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh sebagai balasan atas perbuatannya menzalimi binatang.

"Tertuduh sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran yang waras tidak sewajarnya menzalimi dan menganiaya benda hidup," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan fakta kes, kucing jantan bernama Jebon milik seorang lelaki telah ditemui mati terjerut di hadapan rumah seorang jiran.

Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh menjerut leher kucing itu menggunakan tali rafia sebelum menggantungnya di tangga hadapan rumah jiran hingga mati dan beredar.

Sementara itu dalam rayuannya, Al Azri menjelaskan, kucing tersebut telah mencakar dan menggigit tangannya hingga berlubang yang menyebabkan dia bertindak demikian.