Ikram setuju guru agama kekal di Sabah dan Sarawak

Mohd Parid Sheikh Ahmad
Mohd Parid Sheikh Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikram Malaysia menyambut baik kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mencadangkan agar guru-guru agama di Sabah dan Sarawak yang berasal dari Semenanjung untuk kekal berkhidmat di sana sebagai medan dakwah.

Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, Ikram menyokong penuh saranan Menteri Pendidikan itu sebagai langkah sementara bagi mengatasi kekurangan guru agama di Sabah dan Sarawak yang kini pada tahap kritikal.

“Ikram mengikuti kebimbangan beberapa pihak tentang kenyataan Menteri Pendidikan di Dewan Rakyat yang menyarankan agar guru-guru agama dari Semenanjung untuk tidak segera pulang ke Semenanjung.

“Sebaliknya kekal berkhidmat di Sabah dan Sarawak dan menjadikannya sebagai medan dakwah dan tempat untuk menabur bakti, memandangkan jumlah guru agama yang amat tidak mencukupi di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Parid, selain itu, Ikram juga bersetuju agar usaha dilipat gandakan untuk meramaikan lagi guru agama di kalangan anak tempatan Sabah dan Sarawak kerana mereka lebih memahami budaya tempatan.

“Ikram juga mencadangkan agar Kementerian Pendidikan mengenal pasti dan mengkaji aduan-aduan dan permasalahan-permasalahan yang dihadapi oleh guru-guru agama Semenanjung yang mungkin tidak difahami sepenuhnya demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan mereka dan juga keluarga mereka,” jelasnya.

Tambah beliau, dakwah hakikatnya adalah usaha memperbaiki (islah) agar negara menjadi sejahtera. Negara yang aman dan sejahtera adalah impian semua rakyat. Memandangkan negara berhadapan dengan pelbagai masalah akhlak dan keruntuhan moral di peringkat rumah tangga, sekolah, tempat kerja, sosial dan media, usaha dakwah harus diberi sokongan oleh semua pihak.

“Guru-guru agama di sekolah-sekolah memainkan peranan penting bagi mendidik pelajar-pelajar untuk menjadi manusia yang berilmu, berakhlak dan berperibadi mulia seterusnya membina masyarakat penyayang.

Artikel Berkaitan:

“Mereka harus melihat ini sebagai satu tugas mulia dan sebagai pengorbanan dalam usaha menabur bakti kepada negara. Moga mereka terus bersabar dan diberi kekuatan semasa berbakti jauh daripada kampung halaman serta diberi ganjaran yang sewajarnya,” katanya.