Ayam mentah Econsave ada sijil halal Jakim

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pasaraya Econsave menegaskan bahawa ayam mentah yang dijual di semua premisnya diperolehi daripada pembekal yang mempunyai sijil halal yang diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam berkata, pihaknya memandang serius berkenaan tuduhan wujudnya ayam mentah yang disembelih dengan cara yang tidak sah atau tidak halal yang ditimbulkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Bagi pihak Econsave Malaysia, saya menegaskan bahawa pihak kami mendapatkan bekalan ayam daripada pembekal yang mempunyai sijil halal yang dikeluarkan dan diperakui oleh pihak Jakim.

"Saya juga telah berhubung dan memaklumkan kepada pihak Jakim berkenaan isu ini dan laporan polis telah dibuat dan pihak kami akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada penyebar berita palsu ini," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas satu mesej mengenai seorang bekas kakitangan pasar raya itu mendakwa ayam mentah yang dijual di pasar raya itu tidak disembelih dengan cara yang halal dan bersih.

Bagaimanapun, mesej palsu yang telah ditularkan melalui laman Facebook Bandar Puncak Alam itu berlaku pada tahun lalu dan sudah dijelaskan kepada orang ramai.

Dalam pada itu, Mas Imran berkata, para pengguna tidak perlu ragu-ragu dan terus menyokong Econsave sebagai pilihan terbaik untuk para pengguna berbelanja.

"Saya faham mengenai kebimbangan para pengguna dan bagi pihak Econsave, saya menjamin ayam mentah yang dijual adalah halal 100 peratus. Saya turut melampirkan salinan sijil halal pembekal yang dikeluarkan oleh Jakim," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: