Wajibkan peniaga makanan miliki sijil halal

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RAMAI usahawan Islam terutamanya yang terlibat dalam sektor makanan tahu mengenai aspek halal tetapi amat sedikit yang mengerti akan kepentingan dan manfaat memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada perniagaan mereka.

Jakim mendedahkan hampir 72 peratus atau 165,026 daripada keseluruhan 229,204 produk yang mempunyai sijil halal di negara ini dimiliki oleh syarikat bukan Islam, hanya 37,466 bumiputera memiliki sijil tersebut.

Angka tersebut adalah untuk tempoh dari tahun 2021 hingga 10 April 2023. Untuk rekod berakhir pada 31 Disember 2022 pula, sebanyak 7,742 syarikat menjadi pemegang pensijilan halal Malaysia dengan 59 peratus daripadanya adalah syarikat bukan bumiputera.

Berdasarkan angka ini, dapat dilihat usahawan bumiputera Islam kurang berminat mendapatkan sijil penting berkenaan. Ini kerana sebahagian usahawan Islam meyakini nama orang Melayu selaku pembuat produk atau tukang masaknya beragama Islam sudah cukup sebagai bukti makanan atau produk yang dikeluarkan mereka halal.

Justeru mereka merasakan tidak perlu bersusah-payah untuk memenuhi syarat-syarat yang digariskan oleh Jakim untuk mendapatkan sijil halal.

Mempunyai sijil halal bukan sahaja bermakna sesuatu produk bebas unsur-unsur yang diharamkan seperti khinzir atau alkohol, ia juga bermaksud produk anda lebih terjamin dari segi kualiti, keselamatan dan kebersihan.

Disebabkan itu, jika anda merupakan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam bisnes makanan, mempunyai sijil halal adalah satu kemestian dalam menarik keyakinan pengguna terutamanya pengguna Islam bukan sahaja di negara ini malahan di luar negara seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.

Sijil halal dapat memberi kredibiliti kepada jenama apabila pengguna tidak perlu ragu-ragu bukan sahaja terhadap bahan yang digunakan, tapi juga terhadap kualiti dan proses pembuatan makanan atau produk terbabit.

Kerajaan mungkin boleh mencontohi langkah kerajaan Brunei yang mewajibkan semua premis makanan di negara itu memiliki sijil halal bagi setiap produk yang dijual berkuat kuasa November 2017.

Ini bagi memastikan semua bahan makanan atau produk yang dijual bukan sahaja bebas daripada bahan-bahan yang diharamkan, tetapi juga proses pembuatan makanan itu dijamin kebersihan dan tinggi kualiti.