Penjawat awam cedera dipercayai dipukul suami

Zundin Mahmood
Zundin Mahmood
A
A
A

TEMERLOH - Seorang penjawat awam cedera selepas dipercayai dipukul suaminya angkara cemburu, Isnin lalu.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Mentakab kira-kira jam 7 malam menyebabkan mangsa yang berusia 29 tahun mengalami lebam di badan, mata dan tangan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Mentakab, semalam.

Menurutnya, berdasarkan laporan polis dibuat mangsa, suspek yang berusia 32 tahun dalam keadaan marah kemudian memukul isterinya di rumah mereka.

"Suami mangsa yang juga seorang kontraktor telah memukul mangsa di bahagian badan menggunakan kayu penyapu, bulu ayam serta mencucuh puntung cerut di tangan kanan sambil mengeluarkan kata-kata kesat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal, pasangan tersebut tidak memiliki anak dan kejadian berlaku di ruang tamu.

"Hasil temubual dengan mangsa, mereka telah mendirikan rumahtangga kira-kira enam tahun.

"Suspek mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan sulit setelah membaca satu kiriman WhatsApp seorang lelaki kepada mangsa, lalu marah dan bertindak memukul wanita terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk menerima rawatan.

Tambahnya, suami mangsa telah ditangkap semalam dan siasatan lanjut masih diteruskan.

"Suspek ditahan reman bermula hari ini hingga 15 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.