Satu kehilangan besar buat dunia seni, kata Johan Jaaffar

Johan Jaaffar - Foto summber internet
Johan Jaaffar - Foto summber internet
A
A
A

SHAH ALAM - Pemergian Allahyarham Datuk A Rahman Hassan,73, merupakan satu kehilangan besar buat dunia seni tanah air.

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, Allahyarham A Rahman Hassan merupakan ikon era Pop Yeh Yeh pada tahun 1960-an bersama tokoh-tokoh seperti Allahyarham M Osman, Datuk Jeffridin dan ramai lagi.

Menurutnya, Allyarham juga antara yang turut mencorakkan suasana muzik dan seni lagu pada zaman itu.

"Lagu nyanyiannya yang terkenal Tak Mengapa bersama Orkes Nirwana merupakan lagu yang bukan sahaja menjadi ikonik untuk era tersebut tetapi sentiasa 'evergreen' dalam ingatan peminatnya hingga ke hari ini.

"A Rahman Hassan merupakan bintang cemerlang yang menghiasi dunia seni tanah air," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aktivis seni itu juga berkata, banyak jasa Allahyarham membantu rakan-rakan artis lain.

Jelasnya, penyanyi itu turut menjadi suara bagi kalangan seniman, khususnya bagi mereka yang kurang bernasib baik.

"Perjuangannya tidak akan dilupakan dan kehilangannya amat dirasai," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: A Rahman Hassan kembali ke rahmatullah

A Rahman Hassan meninggal dunia di Hospital Ampang, jam 12.40 malam tadi.

Ia disahkan anak sulungnya, Khir Rahman, lapor Harian Metro.

Rahman dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang selepas pitam di sebuah stesen minyak di Ampang.

Kejadian yang berlaku pada jam 10 malam Isnin lalu itu menyaksikan A Rahman diselamatkan serta dihantar ke hospital menaiki ambulans.

Khir memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga.