Agong mahu rakyat Malaysia di UAE harumkan nama negara

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan beramah mesra bersama sebahagian rakyat Malaysia semasa Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Malaysia di Emiriah Arab Bersatu bersempena dengan Lawatan Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Banginda Yang di-Pertuan Agong hari ini. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan beramah mesra bersama sebahagian rakyat Malaysia semasa Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Malaysia di Emiriah Arab Bersatu bersempena dengan Lawatan Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Banginda Yang di-Pertuan Agong hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ABU DHABI - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah rakyat Malaysia di luar negara perlu menjaga dan mengharumkan nama negara, termasuk dengan melakar kejayaan di bidang masing-masing.

Sultan Abdullah yang memulakan lawatan khas tiga hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini, bertitah setiap rakyat Malaysia yang berjaya, pastinya akan menjadi contoh kepada yang lain, untuk sama-sama memartabatkan nama negara di persada antarabangsa.

“Saya anggap kamu semua yang bernasib baik, dalam kalangan 32 juta rakyat Malaysia yang mendapat peluang di Abu Dhabi,” titah baginda sambil menyatakan yang mereka berjaya melakukannya dalam persekitaran yang sangat kompetitif, bersama rakyat dari negara lain yang turut mencari peluang pekerjaan dalam bidang yang sama.

Bertitah di pertemuan bersama rakyat Malaysia di sini, Sultan Abdullah turut menyatakan keyakinan, mereka akan dapat memenuhi standard yang ditetapkan, dan menggunakan keupayaan dan kemahiran mereka untuk melakukan tugas dengan baik.

“Saya dimaklumkan, kita bagus dalam industri minyak dan gas dan juga penerbangan di sini. Saya berharap anda semua akan terus lakukan yang terbaik. Terus kekalkan nama baik Malaysia,” titah baginda.

Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat Malaysia di luar negara, agar tidak lupa pulang untuk berbakti kepada tanah air.

Yang di-Pertuan Agong dalam pada itu percaya, hubungan antara Malaysia dan UAE akan bertambah erat lagi dalam pelbagai bidang pada masa hadapan.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob; Duta Besar Malaysia ke UAE, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin; dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Datuk Yubazlan Yusof.

Artikel Berkaitan:

Sultan Abdullah juga berkenan beramah mesra dengan kira-kira 200 warga Malaysia termasuk dari Abu Dhabi dan Dubai.

Seri Paduka dijadual berangkat menghadiri upacara sambutan keberangkatan tiba rasmi, di Istana Presiden di sini pada Khamis.- Bernama