Ahmad Hamzah kekal Ahli Parlimen Jasin

Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Bekas Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan gagal mencabar kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Keputusan itu diumumkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini menolak petisyen pilihan raya yang dikemukakan Khairuddin, yang merupakan calon PH selepas memutuskan kemenangan Ahmad di kerusi Parlimen Jasin adalah sah dan tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Jais menolak petisyen tersebut dengan kos sebanyak RM200,000 yang perlu dibayar Khairuddin kepada Ahmad dan RM200,000 lagi kepada pengurus pilihan raya, Zamrud Yahya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden kedua dan ketiga.

Ahmad (depan, tengah) meraikan kemenangan selepas Mahkamah menolak Petisyen membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Jasin, dalam Pilihan Raya Umum yang lalu yang difailkan oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Peguam Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun mewakili Ahmad manakala Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili pegawai pengurus pilihan raya dan SPR.

Pada 18 Februari lalu Mahkamah Persekutuan mengembalikan petisyen pilihan raya Parlimen Jasin yang difailkan Khairuddin ke Mahkamah Pilihan Raya untuk dibicarakan di hadapan hakim baharu.

Pada Oktober tahun lalu, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen Khairuddin selepas membenarkan bantahan awal oleh Ahmad atas alasan petisyen itu sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi Melaka iaitu di mana pilihan raya diadakan bukan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada PRU-14 lalu, Khairuddin kalah kepada Ahmad dengan perbezaan 219 undi dalam pertandingan tiga penjuru yang menyaksikan Ahmad mempertahankan kerusi itu selepas menerima 26,560 undi manakala Khairuddin memperoleh 26,341 undi sementara calon PAS, Abd Alim Shapie mendapat 8,860 undi.

Artikel Berkaitan:

Ahmad (depan, kanan) menerima pelukan dan ucapan tahniah daripada Khairuddin (depan, kiri) selepas Mahkamah menolak Petisyen membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Jasin, dalam Pilihan Raya Umum yang lalu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Khairuddin memfailkan petisyen pilihan raya itu pada Jun tahun lepas menurut Seksyen 34(C) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Khairuddin memfailkan petisyennya berdasarkan percanggahan dalam Borang 14, di mana beberapa dokumen tidak mempunyai tandatangan pegawai SPR dan yang lain mempunyai tandatangan ejen calon.

Beliau turut mendakwa kertas undi yang dikeluarkan lebih banyak daripada jumlah pengundi yang hadir membuang undi.

Beliau yang memohon perintah deklarasi keputusan PRU-14 bagi kerusi Parlimen Jasin batal dan tidak sah mendakwa ahli politik BN itu dipilih secara tidak sah dan pilihan raya baharu perlu diadakan.

Sementara itu Khairuddin yang ditemui sejurus selesai kes menegaskan, beliau akur dengan keputusan itu dan menghormati keluhuran undang-undang.

Sehubungan itu beliau tidak akan merayu berhubung keputusan tersebut sebaliknya selalu selaku penyelaras parlimen Jasin akan terus bekerja dan berkhidmat untuk rakyat.