SKM tingkat tenaga mahir dalam bidang kraf tangan

Mohamaddin Ketapi
Mohamaddin Ketapi
A
A
A
JOHOR BAHRU - Tenaga kerja bagi penghasilan kraf tangan tempatan merupakan keperluan terbaharu yang mahu diketengahkan kerajaan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, menjadi satu kerugian sekiranya bidang ini tidak dikembangkan hanya kerana kekurangan tenaga kerja yang mahir.

Sehubungan itu, katanya kerajaan kini dalam cadangan untuk melaksanakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang akan dikendalikan sendiri oleh Instituf Kraf Negara (IKN).

"SKM ini akan diadakan menerusi beberapa cawangan melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang. Kita akan memberi fokus kepada bidang kraf batik, logam dan kayu.

"Inisiatif melibatkan National Occupational Skills Standard (NOSS) ini juga diyakini boleh memberi peluang menambah tenaga mahir dalam bidang kraf," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Festival Kraf Johor, di sini, hari ini. Hadir sama, Exco Pelancongan dan Pembangunan Wanita, Liow Cai Tung.

Mohamaddin berkata, usaha itu juga dilihat boleh dijadikan sebagai latihan terbaik kepada generasi baharu yang mahu menceburi sektor kraf tangan di negara ini.

"Selain memasar dan mengeluarkan produk, kita mahu ada satu latihan khas kepada rakyat untuk membantu dalam penambahbaikan produk kraf tempatan," katanya.

Beliau berkata, latihan dan sijil yang dilaksanakan itu juga mendapat Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sekali gus membolehkan para pelatihnya melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.
Artikel Berkaitan:


Katanya, ia juga turut mendapat kerjasama daripada beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).