Keadilan dalam kes ekstradisi Dr Zakir Naik

Zakir Naik
A
A

PADA Mei 2019, pihak berkuasa India telah mengaitkan pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik dengan dakwaan penggubahan wang haram berjumlah kira-kira RM115 juta dan penglibatan dalam aktiviti keganasan.

Sama ada kita percaya atau tidak, dakwaan yang ditimbulkan oleh pihak berkuasa India itu telah disensasikan oleh media yang memberi persepsi negatif terhadap Dr Zakir.

Dakwaan tersebut menyebabkan pihak berkuasa India menuntut agar Dr Zakir diekstradisikan ke negara itu untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Kementerian Luar India dilaporkan mengesahkan bahawa permintaan rasmi telah dibuat kepada Malaysia bagi mengekstradisi Dr Zakir yang diberikan status pemastautin tetap di Malaysia.

Terbaharu, sebuah mahkamah khas di Mumbai, India dijangka menetapkan langkah susulan dalam usaha membawa pulang Dr Zakir ke India termasuk mengeluarkan waran tangkap tidak boleh jamin.

Ini akan diikuti dengan permintaan kepada Interpol untuk mengeluarkan notis merah bagi menahan Dr Zakir.

Dalam konteks kes Dr Zakir ini, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan tegas berkata, Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Dr Zakir dihantar pulang ke India.

Malaysia perlu mempertimbangkan pelbagai faktor dan tidak harus termakan desakan sesetengah pihak sahaja.

Pendirian Malaysia itu perlu dihormati. Bersandarkan prinsip keadilan, Dr Zakir mempunyai hak untuk membela diri dan mendapat keadilan sewajarnya berdasarkan undang-undang.

Pesalah buruan sepertinya boleh mencabar proses ekstradisi tersebut di mahkamah.

Pendirian semasa kerajaan Malaysia dalam isu ini boleh menghadirkan implikasi negatif terhadap hubungan diplomatik Malaysia dan India yang menandatangani perjanjian ekstradisi pada tahun 2010.

Biarlah pihak kerajaan membuat pendirian yang adil kepada Dr Zakir.

Permohonan ekstradisi oleh mana-mana negara perlu dibuat dengan hati suci dan bukannya dipengaruhi kepentingan politik dalaman negara yang memohon ekstradisi itu.