Masukkan vaksin konjugat pneumokokus dalam program imunisasi kebangsaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - MyHealth Outreach berharap Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dan kerajaan PH dapat menjadikan vaksin konjugat pneumokokus (PCV) sebagai sebahagian daripada program imunisasi kebangsaan (NIP).

Pengasas dan pengarah programnya, Ahaddhaniah Chan Abdullah berkata, ia sejajar dengan manifesto PH pada 2018 iaitu untuk memberikan PCV kepada semua kanak-kanak di bawah dua tahun.

"Berinspirasikan minat dan komitmen anda untuk merealisasikan janji ini, MyHealth Outreach telah memulakan sebuah petisyen dalam talian dalam pada April lalu. Kami amat gembira untuk mengumumkan bahawa lebih 130,000 ibu bapa telah menyatakan sokongan mereka terhadap misi anda untuk memasukkan PCV ke dalam NIP.

"Kebanyakan ibu bapa juga menyatakan penghargaan mereka sekiranya vaksin tersebut diberikan secara percuma berikutan kosnya yang agak tinggi. Kami berharap agar anda dan rakan-rakan anda dalam kerajaan PH dapat melihat keputusan petisyen ini sebagai tanda persetujuan rakyat," katanya dalam surat terbuka kepada Dzulkefly hari ini.

Katanya, sudah tiba masanya negara menyahut seruan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menyediakan PCV sebagai sebahagian daripada NIP.

"Setakat ini, 144 buah negara telah menjawab seruan ini, di mana 136 buah negara telah memberikan PCV di peringkat nasional, lima negara di peringkat sub nasional dan tiga buah negara memberikannya kepada golongan tertentu berisiko tinggi.

"Sebagai ibu bapa di Malaysia, kami bergantung kepada anda untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan generasi kanak-kanak masa kini dan akan datang daripada ancaman penyakit pneumokokus. Terima kasih di atas keprihatinan anda dalam mengutamakan keperluan rakyat," katanya.

MyHealth Outreach turut menyenaraikan 10 manfaat kepada ibu bapa, kanak-kanak dan masyarakat sekiranya PCV dijadikan sebahagian daripada NIP.

Artikel Berkaitan:

Manfaat-manfaat kesihatan, ekonomi dan sosial itu ialah:

1. Mencegah penyakit dan kematian yang dikaitkan dengan penyakit pneumokokus dalam kalangan kanak-kanak.

2. Mengurangkan keseriusan penyakit dan meningkatkan ketahanan hidup bagi kanak-kanak yang dijangkiti S. pneumoniae.

3. Melindungi semua kanak-kanak di Malaysia, terutamanya dari keluarga-keluarga berpendapatan rendah (B40) yang tidak mampu mendapatkan vaksin ini.

4. Membolehkan vaksin mudah didapati untuk semua di seluruh negara melalui klinik-klinik kesihatan kerajaan, terutamanya bagi mereka yang tinggal di luar bandar.

5. Menggalakkan pematuhan terhadap jadual imunisasi kebangsaan apabila PCV diberikan bersama vaksin-vaksin lain.

6. Membina imuniti kelompok bagi mengurangkan penyebaran penyakit pneumokokus dalam golongan yang lemah (kanak-kanak dengan sistem imun yang terjejas dan warga emas).

7. Mengurangkan keperluan mengambil antibiotik dan seterusnya melambatkan kadar kerintangan antibiotik.

8. Mengurangkan beban merawat penyakit pneumokokus dalam sistem penjagaan kesihatan.

9. Mengurangkan beban kewangan dan sosial, serta kehilangan produktiviti atau sumber pendapatan kerana perlu menjaga kanak-kanak yang sakit atau mengalami kecacatan kekal akibat penyakit ini.

10. Meningkatkan status Malaysia sebagai negara contoh dalam memberi perlindungan universal dari segi penyediaan penjagaan kesihatan berbentuk pencegahan kepada semua rakyat di negara ini.