Isteri rayu suami diberi pengampunan Agong

Rokiah Abd Majid
Rokiah Abd Majid
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga kedai kopi dari Indera Mahkota di sini, merayu pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk membebaskan suaminya yang kini menunggu masa untuk dihukum gantung.

Rokiah Abd Majid, 60-an berkata, suaminya Muhd Zulkifli Abd Ghani merupakan bekas tentera yang kini menjadi banduan akhir di Penjara Bentong Pahang, dipenjarakan sejak 20 Mei 2010.

Menurutnya, sudah hampir enam tahun beliau dan anak-anak kehilangan tempat bergantung dan terpaksa berniaga kedai kopi untuk menyara hidup.

"Besar harapan saya agar suami diberikan pengampunan oleh Agong dan dapat kembali kepada keluarga. Suami sudah insaf dan keluarga telah menerima derita yang amat panjang sehingga anak ketiga kami, Muhd Khairee meninggal dunia Mac lalu.

"Muhd Khairee alami masalah mental kerana tidak tahan dengan tekanan yang kami hadapi termasuk umpat keji masyarakat. Bahkan anak bongsu juga terima tekanan yang kuat hingga ttak mahu pergi sekolah kerana diejek anak pengedar dadah," katanya.

Rokiah ditemui pada Program Forum Memansuhkan Hukuman Mati di Pusat Komuniti ADUN Semambu di sini malam tadi.

Menceritakan kisahnya, Rokiah berkata, suaminya ditangkap pada 24 September 2000 dan didakwa di Mahkamah Tinggi Kuantan bersama seorang warga Thailand atas tuduhan mengedar 22kg ganja.

Pada 28 Februari 2013 Mahkamah Tinggi memutuskan suaminya tidak bersalah lalu melepas dan membebaskannya.

Artikel Berkaitan:

Selama lebih tujuh tahun suaminya kembali kepangkuan keluarga dan menjalani kehidupan penuh keinsafan.

"Suami banyak terlibat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, menjadi penderma darah yang konsisten dan banyak membantu orang, demi membersihkan nama keluarga yang tercemar.

"Dia sangat menghargai kebebasan yang diberikan kali kedua itu, bahkan cukup bimbang untuk membantu orang menaiki van lagi sebab bimbang dijadikan kambing hitam.

"Rupanya pihak pendakwaan membuat rayuan dan Mahkamah Rayuan Putrajaya mengarahkan suami hadir ke mahkamah.

"Pada posiding itu suami didakwa tanpa kehadiran seorang lagi tertuduh kerana gagal ditemui," katanya.

Rokiah berkata, suaminya boleh sahaja melarikan diri seperti warga Thailand itu tapi dia sangat yakin yang dia tidak bersalah dan mahkamah akan mengetahuinya.

"Tapi malang, dia disabitkan bersalah dan dihukum gantung sampai mati," katanya.

Muhd Zulkifli dijatuhi hukuman itu oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas mendapati keputusan Mahkamah Tinggi adalah terkhilaf atas kesalahan beliau di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kini beliau sedang menjalani hukuman penjara sementara menanti ke tali gantung.

"Kesan dari hukuman mati terhadapnya dan keluarga, kami umpama seorang yang sempurna tapi kehilangan penglihatan, pekak, bisu, kudung dan hidup tanpa nikmat.

"Pembebasan beliau ibarat seorang OKU diberikan kesempurnaan dan cahaya kehidupan buat keluarga.

"Saya merayu Seri Paduka baginda mengurniakan pengampunan. Dan saya mohon kerajaan mansuhkan hukuman mati," katanya.

Isteri rayu pengampunan Agong, suami dalam penjara menanti masa hukuman gantung Laporan Nor Khalilah G. Hassan

Posted by Sinar Harian Edisi Pahang on Tuesday, June 11, 2019