Imigresen Kedah cekup enam warga asing

Antara warga asing yang ditahan dengan kerjasama JPJ dan beberapa agensi kerajaan yang lain.
A
A

ALOR SETAR - Enam warga asing ditahan dalam Ops Bersepadu di kolam ternakan ikan serta sekatan jalan raya di Jitra dan Sik semalam kerana melakukan pelbagai kesalahan iaitu tinggal lebih masa selain tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, penahanan tersebut melibatkan tiga lelaki warganegara Indonesia dan tiga lelaki warganegara Myanmar.

Menurutnya, seramai 13 orang telah diperiksa terdiri dari pelbagai warganegara asing.

"Dari jumlah tersebut sebanyak enam orang telah ditahan di bawah bawah Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Zuhair berkata, mereka yang ditahan dibawa ke lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar buat sementara waktu untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserahkan ke depot Imigresen di Belantik, Sik.

Operasi tersebut melibatkan kekuatan anggota yang diketuai seramai tujuh pegawai Imigresen daripada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kedah dengan kerjasama 56 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Turut membantu adalah 21 anggota dari Polis Diraja Malaysia, tujuh anggota dari Jabatan Alam Sekitar, dua anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, 18 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan lima anggota PUSPAKOM telah terlibat dalam operasi bermula sekitar jam 2.00 petang dan berakhir jam 6.00 petang.