Konflik duniawan dan syurgawan

A
A

BAGAIMANA menjaga maslahat kemanusiaan? Wujud dua golongan ekstremis.

Satu golongan ekstremis yang saya beri nama sebagai 'duniawan'. Mereka ini meremehkan ulama kerana mereka kecewa dengan pihak ulama yang gagal memperjuangkan hak asasi kemanusiaan. Akibatnya mereka obses dengan perjuangan hak kesamarataan, hak kebebasan dan hak LGBT.

Satu lagi golongan ekstremis yang saya beri nama sebagai 'syurgawan'. Mereka ini taksub kepada ulama yang mereka angkat sendiri seolah-olah ulama adalah berhala bagi mereka. Kalau ulama syurgawan kata halal, halallah bagi mereka. Mereka ini pula kecewa dengan duniawan.

Bagi syurgawan, 'hukum' agama patut mengatasi hak walaupun sebenarnya 'hukum agama' yang mereka taksub itu sebenarnya hanya ijtihad ulama syurgawan. Maka para syurgawan pun mengeluarkan hukum halal ke atas perbuatan bohong, rasisme dan bai'ah talak tiga demi menjaga 'maslahat ummah'.

Konflik dahsyat antara duniawan dan syurgawan secara ringkasnya adalah perlawanan antara pro-Hak dan pro-Hukum.

Penulis berpendapat bahawa kedua-dua perjuangan pro-Hak dan pro-Hukum ini sebenarnya tidak jauh beza kerana kedua-dua cenderung ke arah legalisme. Ia mengandaikan bahawa perubahan 'kulit' undang-undang negara bermakna isi budaya, mindset, iman, akhlak, niat akan bertambah baik, inklusif dan soleh!

Kalau jasad iaitu hak asasi atau hukum agama bertambah baik, maka roh ummah juga akan bertambah progresif atau soleh.

Contohnya, duniawan berusaha menegakkan hak kebebasan individu untuk memaksimumkan roh rasionaliti demi untuk memudahkan individu mendapat tempat istimewa di dunia. Syurgawan pula berusaha menegakkan hukum Wala' kepada Tuan Guru untuk meminimumkan roh rasionaliti demi untuk memudahkan individu mendapat tempat istimewa di syurga.

Bagi penulis, kedua-dua wacana duniawan dan syurgawan ingin memenjarakan roh manusia dengan hanya kawalan undang-undang sama ada hak asasi Made In The West atau hukum agama Made In The East.

Kita perlu sebuah wacana rahmah lil-'alamin yang mengetengahkan harapan asasi kemanusiaan, dan bukan sekadar hak dan hukum. Setiap insan, tidak kira budaya apa, memiliki 'harapan' yang berkait dengan rohani dan psikologinya. Rosak hati, rosak jasad.

Penyakit kemurungan melanda bagaikan tsunami kerana kapitalis duniawan dan syurgawan gagal mengambil berat harapan rakyat untuk diharmonikan. Contohnya persoalan mengapa Muslimin di Malaysia begitu ramai yang terjebak dalam penagihan dadah sedangkan hukum agama jelas mengharamkannya? Mengapa masyarakat majmuk di Malaysia begitu ramai yang membunuh diri sedangkan hak asasi kemanusiaan melarang perbuatan mencederakan diri? Ini jelas menunjukkan perjuangan hak dan hukum sahaja gagal memenuhi roh kemanusiaan.

Putus harapan adalah punca utama yang memaksa individu-individu mengambil keputusan menzalimi diri mereka sendiri sama ada mengambil dadah atau membunuh diri.

Mereka rasa segala hak asasi dan hukum agama yang terkandung dalam undang-undang negara gagal mengisi 'kekosongan' asasi kemanusiaan mereka. Mereka rasa kosong kerana harapan-harapan mereka tinggal kalimah-kalimah hak dan hukum semata-mata.

Sebagai contoh, bayangkan harapan seorang mahasiswa. Harapan saya masuk universiti adalah untuk mendidik akal saya menjadi peneraju intelektual.

Tetapi para duniawan hanya memperjuangkan hak kebebasan bersuara mahasiswa. Ya, sekarang saya diberi hak untuk bersuara tetapi harapan saya untuk menjadi lebih kritis tetap gagal dipenuhi. Bebas bersuara tidak bermakna mampu bersuara!

Para syurgawan pula beri hukum wajib wala' kepada Tuan Guru. Segala hukum yang berdasarkan ijtihad Tuan Guru wajib dipatuhi. Bai'ah talak tiga dilaksanakan. Biar tergadai keluarga demi wala' kepada Tuan Guru.

Harapan saya untuk menjadi peneraju intelektual juga gagal dipenuhi. Saya hanya menjadi alat Tuan Guru syurgawan.

Hukum agama kini menjadi candu yang memandulkan akal untuk berfikir kritis.

Dalam kedua-dua senario di atas, wacana yang berkisar sekitar hak asasi atau hukum agama ditegakkan tetapi harapan asasi kemanusiaan diremehkan.

Yang penting, hak dan hukum diprogramkan mengikut agenda kapitalis duniawan dan syurgawan. Harapan individu pula dibiarkan terumbang-ambing membawa diri.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.