Batik luar boleh tenggelamkan batik Terengganu

Kompleks Kraf Noor Arfa menjadi tumpuan ramai, khususnya pada musim cuti.
Kompleks Kraf Noor Arfa menjadi tumpuan ramai, khususnya pada musim cuti.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemain industri batik di Terengganu perlu lebih kreatif, bersistem dan menekankan aspek pemasaran yang lebih baik dan berkesan untuk terus kekal bersaing.

Pengasas yang juga pengerusi syarikat batik terkenal Terengganu, Noor Arfa Holdings Sdn Bhd (Noor Arfa), Wan Mohd Ariffin Wan Long berkata, walaupun batik Terengganu masih lagi antara batik yang terbaik di negara ini, saingan sengit dalam pasaran boleh menenggelamkan batik Terengganu.

Menurutnya, kemasukan batik luar seperti batik Indonesia serta saingan daripada pengusaha yang lebih mementingkan corak berbanding kualiti kain boleh menenggelamkan batik Terengganu.

“Pemain industri batik di negeri ini yang aktif sudah tidak ramai, hanya ada kira-kira 30 orang sahaja. Malah, ada juga yang bertindak sebagai tauke dan dia sendiri yang buat.

“Ada kalangan mereka masih kekal dengan cara lama, tiada perubahan dan tidak mahu buat sistem yang lebih baik. Untuk terus kekal bersaing, mereka kena kreatif daripada segi corak dan aspek pemasaran yang betul,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kraf Noor Arfa (NACC), di sini.

Kain sarung Noor Arfa yang berwarna pastel berjaya menarik minat golongan muda kepada batik. Gambar kecil, Wan Mohd Ariffin.
Kain sarung Noor Arfa yang berwarna pastel berjaya menarik minat golongan muda kepada batik. Gambar kecil, Wan Mohd Ariffin.

Jelas Wan Mohd Ariffin, antara kelebihan batik Terengganu adalah daripada segi kualiti, bermula daripada membeli kain putih, pembuatan kerja, penggunaan pewarna dengan menekankan aspek kualiti dan ketahanan kain.

Berbanding dengan batik luar, corak batik mereka sangat kompetitif kerana bersaing sesama sendiri, namun tidak terlalu menekankan aspek ketahanan kain kerana ingin menjual batik dengan harga yang lebih murah.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang ini ramai yang ikut ‘trend’ batik Indonesia kerana pemasaran mereka lebih baik. Malah, pembesar negeri dan negara ada yang memakai batik Indonesia, secara tidak langsung orang akan ikut. Ini boleh meminggirkan batik kita,” katanya.

Bagi memastikan batik Terengganu terus bersaing dan menjadi pilihan, Noor Arfa memulakan kempen ‘Raja Batik Sarung’ dengan mempelbagaikan jenis batik sarung dan yang terbaharu, kain sarung yang diketengahkan menggunakan warna-warna lembut.

Berbanding dahulu kain sarung menggunakan warna ‘keras’ dan agak tua yang dilihat lebih sesuai untuk orang tua dan makcik-makcik, pengenalan kain sarung warna lembut lebih ‘mesra’ untuk golongan muda.

Malah katanya, penjualan kain sarung berwarna lembut atau pastel paling banyak mendapat sambutan dalam jualan atas talian syarikat itu.

“90 peratus jualan batik Noor Arfa masih lagi secara ‘offline’ kerana peminat batik biasanya mahu rasa sendiri jenis kain dan melihat kualitinya, di samping corak dan warna. Tapi seiring dengan perkembangan semasa, kita turut memulakan perniagaan secara atas talian bermula pertengahan tahun lalu.

“Sambutannya cukup baik dan terus meningkat. Tapi, kekuatan kita masih lagi secara ‘offline’. Kebanyakan pelanggan di NACC sendiri misalnya, datang dari luar khususnya dari Pantai Barat kerana mereka percayakan kualiti batik kita,” katanya.