Peniaga rempah Pasar Payang masih kekalkan harga

Peniaga rempah di Pasar Payang tidak menang tangan nelayan permintaan pelanggan menjelang Hari Raya Aidiladha yang akan diraikan tidak lama lagi.
Peniaga rempah di Pasar Payang tidak menang tangan nelayan permintaan pelanggan menjelang Hari Raya Aidiladha yang akan diraikan tidak lama lagi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Walaupun terpaksa berdepan dengan kenaikan kos, peniaga rempah ratus di Pasar Payang di sini masih mengekalkan harga jualan barangan itu agar pelanggan tidak berasa terbeban.

Muhammad Shahrulnizam Rasman, 27, berkata, kenaikan harga bagi belian secara borong barangan itu mula dirasai selepas musim perayaan Aidilfitri lalu.

"Lepas Hari Raya Puasa sebelum ini kita dapati harga rempah naik mendadak misalnya serbuk ketumbar, dulu kita beli dalam RM50 untuk lima kilogram, sekarang naik kepada lebih RM60 bagi kuantiti yang sama.

"Begitu juga dengan beberapa rempah lain, kebanyakannya naik harga. Tetapi, walaupun untung kita makin kecil, harga bagi setiap 100 gram rempah yang kita jual kepada pelanggan masih sama. Tidak naik," katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Muhammad Shahrulnizam berkata, rempah-rempah itu dijual antara RM5 hingga RM8 bagi setiap 100 gram.

Tun Hassan menunjukkan rempah gulai yang laris dan mendapat permintaan tinggi sempena Aidiladha.
Tun Hassan menunjukkan rempah gulai yang laris dan mendapat permintaan tinggi sempena Aidiladha.

"Antara rempah yang mendapat sambutan musim Aidiladha ialah rempah gulai kawah. Rempah ini kita jual RM5 untuk setiap 100 gram.

"Kita juga ada rempah serbaguna (RM6), rempah sup (RM5) dan rempah rendang (RM8) dan rempah ayam goreng berempah (RM8)," katanya yang telah setahun membantu ibunya berniaga di Pasar Payang.

Artikel Berkaitan:

Menurut Muhammad Shahrulnizam, bilangan pelanggan yang berkunjung ke premisnya untuk mencari rempah bertambah sejak dua, tiga hari lalu.

"Musim raya haji ini memang orang akan cari rempah untuk memasak haiwan korban dan sudah tentu sekali Pasar Payang akan menjadi tumpuan mereka yang inginkan pelbagai pilihan rempah ratus untuk masakan.

"Dari segi jualan pula kita bersyukur kerana ia meningkat tiga kali ganda berbanding hari biasa," katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga rempah, Tun Hassan Tun Mahmud, 62, berkata, biarpun berdepan peningkatan harga bahan mentah, semua jenis rempah di kedainya dijual pada harga RM4 bagi setiap 100 gram kecuali rempah kuzi dijual dengan harga RM5.

Muhammad Shahrulnizam menunjukkan antara rempah ratus yang dijual di Pasar Payang, Kuala Terengganu.
Muhammad Shahrulnizam menunjukkan antara rempah ratus yang dijual di Pasar Payang, Kuala Terengganu.

"Saya masih kekalkan harga ini sejak 2019 ketika pindah dari Pasar Payang lama. Waktu di Pasar Payang lama dulu saya jual RM3 sahaja untuk kuantiti yang sama.

"Setiap 100 gram rempah ni kita boleh guna untuk masak dua kilogram ayam atau daging," ujarnya yang telah 35 tahun berpengalaman menjual rempah di lokasi perniagaan itu.

Menurut Tun Hassan, jualan rempah gulai, rendang dan kari paling laris dan dicari pelanggan yang berkunjung ke premis berkenaan.

"Di sini saya ada menjual enam jenis rempah gulai, rendang dan daging. Pelanggan boleh pilih sama ada mahu beli mengikut kuantiti bahan masakan atau belian secara runcit.

"Kita juga ada sediakan rempah yang siap dicampur mengikut sukatan bagi mereka yang inginkan kelainan dalam masakan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!